Kerajaan terus memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam melalui penempatan semula pegawai perubatan dan anggota polis di lokasi lebih memerlukan, sebagai sebahagian daripada agenda merakyatkan perkhidmatan.
Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar, berkata sebelum ini sejumlah besar doktor pakar ditempatkan di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bukannya di hospital atau klinik yang memerlukan mereka.
“Kita tengok ramai doktor pakar tidak duduk di hospital atau klinik, tapi duduk di KKM. Jadi untuk itu kita buat apa yang dipanggil merakyatkan perkhidmatan. Doktor yang ramai di ibu pejabat KKM, kita mobilisasikan untuk mereka balik ke hospital dan klinik.
“Dan untuk 2024 hingga 2025, sebanyak 380 doktor telah ditempatkan semula di klinik dan di hospital.
“Sama juga dengan polis kerajaan berjaya menempatkan semula 611 pegawai polis yang berada di Bukit Aman untuk berkhidmat di balai-balai polis daerah dan negeri,” katanya semasa menjadi panel Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam yang diadakan sempena program Rancakkan Madani di Putrajaya hari ini.
Menurut Shamsul Azri, inisiatif itu antara lain bertujuan memastikan tenaga profesional digunakan secara optimum demi manfaat rakyat.
Berkongsi pengalaman di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini, Shamsul Azri berkata, pelaksanaan tugas dalam sesuatu organisasi perlu sentiasa berpandukan kepada dokumen rasmi dan prosedur ditetapkan, bukan semata-mata mengikut amalan biasa yang sering dipraktikkan oleh ramai pihak.
Katanya masih terdapat kecenderungan dalam kalangan kakitangan awam mengikuti cara kerja yang telah menjadi kebiasaan walaupun ia tidak selari dengan proses sebenar dalam peraturan kerja.
“Sebenarnya, perkara penting dalam melaksanakan tugas ialah memahami dengan jelas apa yang terkandung dalam dokumen rujukan, apa yang perlu kita lakukan, peraturan yang perlu dipatuhi dan proses kerja yang telah ditetapkan.
“Kadangkala kita bekerja mengikut amalan biasa yang sering dilakukan ramai orang namun amalan tersebut tidak semestinya selaras dengan prosedur sebenar.
“Praktis menjadi kebiasaan itu belum tentu betul dan sering kali tidak menepati proses kerja yang seharusnya diikuti,” katanya.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia Mustafar Ali yang turut menjadi ahli panel berkata setiap warga kerja perlu digerakkan oleh tiga elemen utama iaitu duty, joy and passion (tanggungjawab, keseronokan dan semangat) bagi memastikan tugas dan amanah mereka dilaksanakan dengan berkesan.

Katanya duty merangkumi usaha menggunakan kemampuan dan sumber diri untuk menyumbang kepada kebaikan organisasi, manakala elemen joy merujuk kepada rasa seronok bekerja secara ikhlas tanpa paksaan.
Aspek passion pula kata Mustafar ialah kecintaan terhadap kerja yang mendorong seseorang memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan baik.
Program Rancakkan Madani selama tiga hari yang bermula Jumaat lalu menawarkan lebih 300 titik sentuhan perkhidmatan awam, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga dan promosi khas untuk pengunjung.
Program itu merupakan kesinambungan kepada dua program Bersama Kerajaan Madani yang telah menjadi tradisi pelaporan tahunan Putrajaya secara terus kepada rakyat.
Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam itu menghimpunkan pakar dasar dari sektor awam dan penggiat industri.
- Bernama
