Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak dakwaan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli bahawa agensi itu digunakan untuk menyiasat calon dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Mei 2025.
SPRM menyifatkan tuduhan yang dibuat bekas timbalan presiden PKR itu sebagai “tidak berasas dan tidak benar”.
"SPRM menegaskan bahawa siasatan hanya dijalankan berdasarkan aduan atau maklumat yang diterima.
"Setiap aduan yang mempunyai asas akan melalui proses pengesahan dan siasatan mengikut undang-undang serta prosedur yang ditetapkan," kata suruhanjaya itu pada satu kenyataan hari ini.

Dalam audio siar terbarunya, Rafizi mendakwa beberapa anggota PKR telah menjadi sasaran siasatan SPRM selepas dilihat tidak lagi digemari sesetengah pemimpin parti.
Kata Rafizi lagi, perkara sama turut berlaku terhadap ahli-ahli parti yang bertanding menentang Nurul Izzah Anwar dalam merebut jawatan timbalan presiden parti tersebut.
Rafizi yang kalah kepada Nurul Izzah dalam pemilihan tersebut merujuk kepada insiden seorang calon yang sehaluan dengannya didakwa, ditahan dan disiasat SPRM kerana membeli sebuah rumah lelong secara tunai.
Bagaimanapun, Rafizi tidak menamakan calon tersebut dan hanya menggambarkannya sebagai seseorang yang tidak pernah tewas dalam pemilihan parti di Selangor.
Sementara itu, SPRM turut menafikan dakwaan bahawa pihaknya “mengepung” rumah individu tertentu ketika siasatan dijalankan.
Jelasnya, semua tindakan agensi antirasuah itu selaras dengan keperluan dan tatacara siasatan.
"Ia merupakan satu kaedah siasatan yang biasa termasuk elemen kejutan untuk mengelakkan risiko pelupusan bukti. Selepas pengesahan bahawa individu tersebut tiada di rumah ketika itu, pegawai telah beredar seperti biasa.
"Pada keesokan hari, individu berkenaan telah hadir sendiri ke pejabat SPRM, rakaman percakapannya diambil dan beliau dibebaskan tanpa penahanan.
SPRM juga menegaskan bahawa mana-mana pihak yang tidak berpuas hati boleh membuat aduan melalui saluran sah seperti polis atau Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM.
Langkah itu, menurutnya, penting bagi menilai dakwaan salah laku secara telus dan mengelakkan penyebaran tohmahan tanpa bukti di media sosial.
