Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PPAS minta pihak berkuasa ambil tindakan isu 'buku plagiat'
Diterbitkan:  Dec 8, 2025 9:10 AM
Dikemaskini: 1:10 AM

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menegaskan mereka tidak terlibat dalam pemilihan atau pengiktirafan sesebuah karya semasa Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) yang berlaku baru-baru ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan menjelang tengah malam tadi, PPAS berkata badan itu sekadar menyediakan ruang aktiviti pentas yang tidak berbayar kepada organisasi yang difikirkan sesuai.

“Bagi buku plagiat, keberadaannya berlaku di luar kawalan dan di luar bidang kuasa urus setia SIBF.

“Bagaimanapun urus setia SIBF sudah memohon pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk mengatasi dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Nilai integriti sangat penting dan kita harus sama-sama memelihara amanah ini dengan penuh tanggungjawab memandangkan perkara ini mencerminkan hasil karya yang akan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Baru-baru ini tular rasa tidak puas hati sesetengah pihak apabila sebuah naskhah yang dipertikaikan keaslian kandungannya menerima anugerah semasa SIBF berlangsung.

Bagaimanapun ia menimbulkan kontroversi kerana kandungannya yang dipertikaikan serta kualiti yang dipamerkan dalam naskhah tersebut. Misalnya ada kandungan tersebut dipercayai disalin bulat-bulat dari kemudahan penterjemahan dalam talian.

Lebih menarik perhatian, sijil anugerah tersebut turut memaparkan tandatangan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, serta beberapa nama berprofil tinggi yang lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS