Pesanan dan saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar setiap kementerian memperkukuh perancangan serta memastikan pelaksanaan projek lebih tersusun disifatkan sebagai dorongan positif dalam meningkatkan kecekapan pentadbiran kerajaan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata peringatan itu ditujukan kepada semua kementerian, menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha dan pasukan pentadbiran bagi memastikan setiap projek yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
"Perdana Menteri mengingatkan bahawa apabila kita (kementerian) merancang untuk tahun hadapan, perancangan itu perlu dibuat dengan lebih rapi. Kebanyakan kementerian pada Jan dan Feb akan mula mengadakan pemukiman, jadi peringatan ini memang tepat pada masanya," katanya di Putrajaya hari ini.
Fahmi berkata demikian kepada Bernama selepas sesi perjumpaan perdana menteri bersama warga kementerian bersempena perhimpunan bulanan Kementerian Kerja Raya (KKR), yang turut disiarkan secara langsung di Kementerian Komunikasi.
Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Fahmi berkata semangat yang digariskan Anwar itu mencerminkan tekad kerajaan untuk memastikan setiap perbelanjaan awam serta pelaksanaan projek mematuhi jadual dan kos ditetapkan.
"Apabila sesuatu projek hendak dilaksanakan, kita perlu memikirkan kesan serta penyelesaian yang dibawa kepada penduduk setempat, kampung dan masyarakat. Sama ada ia melibatkan jambatan, internet, perkhidmatan atau perpaduan, semuanya mesti memberi kesan positif kepada rakyat.
“Kita juga perlu melihat selain daripada pencapaian indeks prestasi utama (KPI) yang ditetapkan; apabila kita memaknai kerja kita, kita akan bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh," katanya.
Dalam perhimpunan itu, Anwar mengingatkan bahawa kejayaan sebenar negara Madani bukan hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi atau pembangunan infrastruktur moden, tetapi juga sejauh mana nilai kasih sayang, ihsan dan tanggungjawab diterapkan dalam setiap dasar serta tindakan kerajaan.
Menyentuh pelaksanaan projek kerajaan, perdana menteri berkata keutamaan harus diberikan kepada keberkesanan dan kepantasan dalam memenuhi keperluan rakyat.
- Bernama
