Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Projek WCE: Melaka bakal ada enam plaza tol baru
Diterbitkan:  Dec 9, 2025 6:18 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Sebanyak enam pintu masuk baharu bakal diwujudkan susulan pembinaan projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) merentasi Melaka sepanjang 69 kilometer (km), sekali gus mengubah landskap sistem aliran pengangkutan negeri ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata projek WCE merentasi empat negeri dari Banting, Selangor melalui Negeri Sembilan seterusnya memasuki Melaka dan berakhir di Gelang Patah, Johor itu akan dilancarkan penghujung 2026.

Beliau berkata penambahan enam plaza tol itu akan menjadikan keseluruhan sembilan pintu masuk ke Melaka dengan tiga tol utama iaitu Plaza Tol Simpang Ampat, Ayer Keroh dan Jasin.

"Secara mata kasar, cadangan enam tol bagi jarak 69km tidak logik dengan jarak setiap tol kira-kira 11 atau 12km sahaja, namun ia alternatif terbaik sebagai penyuraian trafik yang semakin sesak di tiga pintu utama sedia ada ke Melaka, terutama di Palza Tol Ayer Keroh.

"Kesemua plaza tol ini dibina merentasi kawasan strategik bagi memudahkan pengguna luar memasuki Melaka terutama kenderaan berat," katanya pada sidang media selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15 hari ini.

Hameed berkata antara plaza tol dicadangkan ialah Plaza Tol Semabok di Melaka Tengah serta Plaza Tol Gangsa dan Plaza Tol Masjid Tanah di Alor Gajah.

Beliau berkata bagi penduduk Melaka, mereka masih boleh menggunakan jajaran baharu iaitu jalan lingkaran.

"Projek ini bukan sahaja membantu melancarkan perjalanan penduduk tempatan tetapi pelancong memandangkan jaringan jalan raya dapat dimaksimumkan tanpa mengganggu aliran trafik kawasan penempatan sedia ada," katanya.

Hameed berkata pembangunan projek mega terbabit dianggarkan mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk disiapkan, di samping bergantung kepada koordinasi bersama Negeri Sembilan dan Johor.

"Kita kini di peringkat akhir berkaitan jajaran tersebut dan pembentangannya akan dilakukan minggu depan sebelum mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya jajaran baharu jalan lingkaran yang bakal dibina merangkumi beberapa projek utama termasuk menghubungkan daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah iaitu Jalan Masjid Tanah ke Sungai Udang.

"Laluan ini akan dinaik taraf daripada dua lorong kepada empat lorong sejauh hampir tujuh kilometer dengan kos mencecah RM300 juta," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS