Bekas calon jawatan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Shafie BP Mammal, meminta Syed Shahir Mohamud mengambil langkah untuk menyatupadukan MTUC supaya perjuangannya lebih berkesan.

"Ini yang perlu dilakukan oleh Syed Shahir. Beliau perlu membawa pemimpin-pemimpin dalam MTUC kembali bersatu.

"Jangan biarkan MTUC berpuak-puak kerana ia akan membawa kepada perpecahan. Syed Shahir perlu melakukannya sekarang," kata beliau yang menjadi timbalan presiden MTUC selama 13 tahun, ketika dihubungi hari ini.

Dalam pemilihan jawatan presiden MTUC Selasa lalu, Shafie (kanan) gagal menewaskan Syed Shahir apabila kalah dengan majoriti 43 undi. Shafie yang juga Presiden Kesatuan Sekerja Pekerja Telekom (NUTE) mendapat 235 undi manakala Syed Shahir memperolehi 278 undi.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada berlaku perpecahan di kalangan pemimpin dalam MTUC.

Sokongan perwakilan

Ditanya mengapa beliau kalah dalam pertandingan jawatan presiden, Shafie berkata, beliau kalah kerana tidak bernasib baik.

"Saya jangka saya akan menang berdasarkan jumlah sokongan perwakilan. Saya anggap Syed Shahir bernasib baik menang," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Shafie berharap MTUC menggunakan pendekatan baru dalam menangani isu pekerja khususnya membabitkan tuntutan gaji minimum RM900 sebulan dan pembayan COLA RM300 sebulan.

Katanya, pendekatan yang digunakan sekarang perlu dikaji kerana ia tidak diteima kerajaan.

"Bagi saya jalan yang terbaik ialah dengan mengadakan dialog tiga pihak iaitu membabitkan kerajaan, majikan dan MTUC sekerap mungkin.

"Gunakan ruang yang ada semaksimum mungkin. Tindakan menentang kerajaan adalah salah," katanya.

Rapatkan kepimpinan

Sementara itu, Presiden Persatuan Pekerja-Pekerja Islam Malaysia (PPIM) Jaafar Majid berkata, tugas utama presiden MTUC itu ialah mengembalikan perpaduan supaya kongres tersebut kembali bersatu.

"Syed Shahir kena memulakan langkah untuk merapatkan semula kepimpinan MTUC. Kita tidak mahu berpuak-puak kerana ia hanya melemahkan kongres tersebut.

"Beliau juga perlu berpendirian berkecuali dan tidak boleh terlalu erat dengan mana-mana parti politik, sebaliknya berjuang untuk kepentingan pekerja," katanya yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Telekom (NUTE).

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pekerja Pembekal Pelabuhan Kelang, A Subramaniam berkata, mana-mana calon yang bertanding perlu memberikan sokongan kepada pucuk pimpinan MTUC supaya mereka dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

Katanya, kini tidak perlu lagi membangkitkan `orang itu, orang ini' kerana ia hanya melemahkan perjuangan MTUC dalam menghadapi beberapa isu termasuk tuntutan gaji minimum.

"Walaupun perpecahan belum berlaku tetapi jangan biarkan unsur-unsur yang tidak diingini berlaku dalam MTUC," katanya lagi.