Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis seru orang ramai salur maklumat bantu kesan bekas suami, anak Indira

Individu mempunyai maklumat yang dapat membantu proses mengesan bekas suami dan anak kepada Indira Gandhi diminta menyalurkannya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata setiap maklumat diterima akan diteliti secara profesional dan diambil tindakan mengikut prosedur siasatan yang berkuat kuasa.

“PDRM kekal komited serta sentiasa menghormati dan mematuhi setiap arahan mahkamah termasuk dalam usaha berterusan mengesan anak Indira Gandhi mengikut lunas undang-undang.

“PDRM akan terus memberikan kerjasama penuh demi memastikan setiap tindakan berkaitan dilaksanakan dengan berintegriti, profesional dan selaras dengan kehendak undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khalid berkata perjumpaan rasmi dengan Indira Gandhi diadakan di Bukit Aman pada 4.40 petang semalam dan turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran, aktivis Arun Dorasamy serta dua anak wanita itu.

Beliau berkata pada perjumpaan itu, Kulasegaran memohon PDRM memberi sokongan berterusan kepada Indira Gandhi dalam usaha mengesan bekas suami dan anak wanita itu.

“Indira Gandhi dan Arun Dorasamy menyatakan harapan agar usaha itu dapat dipergiat,” katanya.

Pada 21 Nov, Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan PDRM memperluas pencarian bekas suami wanita itu K. Pathmanathan atau Muhammad Riduan Abdullah yang didakwa gagal menyerahkan anak perempuan bongsu mereka kepada bekas isterinya.

Pada 2009, Muhammad Riduan menukar agama tiga anak mereka kepada Islam tanpa persetujuan Indira Gandhi dan memohon hak penjagaan melalui Mahkamah Syariah.

Pada 29 Jan 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak Indira Gandhi oleh bekas suaminya adalah batal dan tidak sah.

Mahkamah Persekutuan turut mengarahkan Ketua Polis Negara menangkap Muhammad Riduan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada Indira Gandhi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS