Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AKSB terima RM75 juta naik taraf infrastruktur air Kelantan
Diterbitkan:  Dec 11, 2025 4:19 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menerima peruntukan RM75 juta daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi melaksanakan kerja naik taraf infrastruktur bekalan air di negeri terbabit.

Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan Saizol Ismail berkata peruntukan itu bagi pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Pengkalan Nangka di Tumpat yang mampu membekalkan 30 juta liter air sehari.

“Projek ini dijangka siap pada 2029. Tapak loji telah pun siap dan sehingga Nov lalu ia berada di peringkat reka bentuk oleh perunding, selain proses pengambilan tanah oleh pejabat tanah dan galian sedang berjalan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke tapak telaga tiub di Kampung Laut di Tumpat hari ini.

Sementara itu, Saizol berkata isu bekalan dan kualiti air yang dialami 500 akaun pengguna di Kepulauan Tumpat telah selesai sepenuhnya susulan pembinaan dua unit telaga dan satu unit penapis tekanan.

Katanya projek berkenaan bermula pada 15 Ogos dan siap sepenuhnya pada Nov, sekali gus memastikan penduduk di Kampung Pulau Seratus, Kampung Pulau Beluru, Pulau Besar, Sungai Pinang dan kawasan sekitar dapat menikmati bekalan air yang lebih baik.

Bagaimanapun, Saizol berkata 100 akaun pengguna di Kampung Teluk Renjuna masih terjejas kerana tekanan graviti dari menara tangki Kampung Laut serta kapasiti penapis sedia ada tidak mencukupi untuk menyalurkan air bersih sepenuhnya.

“Kerajaan negeri telah mengambil langkah untuk memasang pam booster bagi meningkatkan tekanan pada penapis sedia ada. Pam ini dijangka siap menjelang pertengahan tahun depan,” katanya.

Dia menambah penapis tekanan yang dipasang bukan sahaja menstabilkan bekalan air malah meningkatkan kualiti air yang sebelum ini kuning dan keruh.

“Ujian menunjukkan kadar kekeruhan menurun kepada 1.64 berbanding 61.7 sebelum ini sekali gus memenuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia yang menetapkan bacaan kurang daripada 5.0.

“Bacaan pH juga meningkat daripada 5.831 kepada 8.711,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS