Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq dalang kes subahat pecah amanah - pendakwaan
Diterbitkan:  Dec 11, 2025 4:36 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah dalang dalam kes bersubahat melakukan pecah amanah membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah hal itu kerana terdapat arahan yang diberikan oleh Syed Saddiq kepada saksi pendakwaan ke-13 (SP13) iaitu Rafiq Hakim Razali – yang ketika itu Penolong Bendahari Armada – untuk mengeluarkan wang RM1 juta milik badan tersebut.

"SP13 dalam keterangannya menyatakan beliau tidak akan keluarkan wang RM1 juta itu jika tidak menerima arahan daripada responden untuk mengeluarkan wang tersebut," katanya pada pendengaran rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq daripada pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.

Dia berkata keterangan SP13 turut disokong oleh SP8, Muhammad Naqib Ab Rahim, yang ketika itu ahli Armada, SP9 Muhammad Daniel Kusari (Ketua Penerangan Armada Wilayah Persekutuan), SP10 Abdul Hannan Khairy (ahli Armada) dan SP11 Ahmad Redzuan Mohamed Shafi (Penolong Setiausaha Armada).

"SP13, SP11 dan SP10 telah memberitahu hakim bicara bahawa semua tindakan mereka disebabkan arahan yang datang daripada responden dan perbuatan saksi-saksi ini telah digerakkan daripada arahan yang sama datangnya daripada responden," katanya.

Wan Shaharuddin berkata bagi kesalahan di bawah persubahatan, pihak pendakwaan mempunyai budi bicara untuk tidak menuduh SP13, sebaliknya menuduh Syed Saddiq kerana tiada sebarang halangan untuk pendakwaan menuduh orang yang bersubahat sahaja tanpa menuduh pesalah utama.

Dia berhujah Mahkamah Rayuan juga mempunyai pengetahuan bahawa responden ada mengeluarkan arahan kepada SP13 berhubung pengeluaran RM1 juta milik Armada namun enggan menimbangkan alasan di sebalik arahan itu.

"Mahkamah Rayuan juga gagal mempertimbangkan keterangan berkenaan arahan responden kepada SP13 untuk clear-kan wang RM1 juta yang sama apabila pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masuk menyiasat rumah responden pada 31 Mac 2020," katanya.

Wan Shaharuddin berkata Mahkamah Rayuan sepatutnya meneliti keterangan SP10, SP11 dan SP13 yang menyatakan mereka tidak mempunyai motif jahat untuk mengenakan Syed Saddiq.

"Saksi pendakwaan ini ialah rakan Syed Saddiq dan mereka tiada motif untuk ‘menambah perencah’ dalam keterangan mereka... jika hendak menyatakan semua ini sudah diatur, kena tunjukkan ada perbalahan.

“Ketika diperiksa balas, Syed Saddiq sendiri menyatakan hubungannya dengan saksi berkenaan adalah baik.

“Malah sebelum perbicaraan bermula di mahkamah tinggi, SP13 datang bertemu Syed Saddiq untuk memperagakan baju Melayu. Kes kami amat bergantung kepada bukti keadaan dan dalam keadaan sekarang, kami tidak mempunyai kelebihan apabila Mahkamah Rayuan banyak menolak keterangan yang amat relevan bagi kes terhadap responden,” katanya.

Ada kewajipan tertentu

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pula berkata Mahkamah Rayuan melakukan kesilapan asas apabila mengetepikan sabitan Syed Saddiq bagi kesalahan menyalah guna secara tidak jujur dan pengubahan wang haram membabitkan RM120,000 yang dikutip melalui acara pengumpulan dana politiknya.

Dia berkata pendekatan Mahkamah Rayuan telah “memutarbelitkan undang-undang" dan jika tidak diperbetul, akan memberikan implikasi yang serius terhadap kepercayaan awam serta tadbir urus kewangan kempen politik.

“Dana itu adalah harta yang telah diamanahkan. Sebagai pemegang jawatan, Syed Saddiq mempunyai kewajipan fidusiari terhadapnya,” katanya.

Dia menambah Mahkamah Rayuan telah terkhilaf apabila memutuskan bahawa dana itu adalah “milik” Syed Saddiq kerana dikumpulkan untuk kempen pilihan raya ahli politik berkenaan.

Ahmad Akram juga berkata jika tafsiran Mahkamah Rayuan itu dikekalkan, kesalahan menyalah guna harta tidak lagi berfungsi sekali gus membolehkan tokoh politik mengalihkan dana sumbangan kempen ke akaun peribadi dan kemudian mendakwa ia sebagai penggunaan yang sah.

Prosiding itu berlangsung di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais, Che Mohd Ruzima Razali dan Collin Lawrence Sequerah.

Ia akan disambung esok.

Wan Shaharuddin dan Ahmad Akram dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan, Law Chin How, Nurul Qistini Qamarul Abrar, Muhammad Asraf Mohamed Tahir serta Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal.

Syed Saddiq pula diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Ambiga Sreenevasan, Kee Wei Lon, S Devanandan, Low Wei Loke, Lim Wei Jiet, Siti Summaiyah Ahmad Jaafar, Mohammed Khairuzzaman Mohammed Ridha, Ee Gen You dan Nevyn Vinosh Venudran.

Pada 25 Jun lalu Mahkamah Rayuan melepas serta membebaskan Syed Saddiq selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan oleh mahkamah tinggi pada 9 Nov 2023.

Sehari selepas itu, Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda.

Dia turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda.

Selain itu, bekas Menteri Belia dan Sukan tersebut dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS