Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki bunuh isteri kerana cemburu, kata polis

Polis percaya lelaki yang mengaku membunuh isterinya beberapa hari lepas di sebuah pangsapuri di Jalan Tuna Seberang Jaya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang sebelum menyerah diri ke balai polis pada Khamis lalu bertindak sedemikian kerana cemburu.

Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail berkata namun pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan terperinci terhadap lelaki berusia 28 tahun itu.

“Siasatan awal polis mendapati suspek bertindak membunuh isterinya kerana cemburu tapi kami sedang jalankan siasatan lanjut kerana tindakannya yang sanggup tinggal bersama isterinya beberapa hari selepas wanita itu mati menimbulkan tanda tanya.

“Ujian air kencing ke atas lelaki itu juga negatif dadah dan polis kini sedang melengkapkan siasatan kes itu untuk tindakan seterusnya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dia berkata polis percaya dengan penahanan lelaki yang tidak bekerja itu berjaya menyelesaikan kes berkenaan dan suspek kini direman sehingga 18 Dis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Helmi Aris berkata sepasukan polis telah ke lokasi dan mendapati mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring, lengkap berpakaian di atas tilam di dalam sebuah bilik tidur dipercayai meninggal dunia beberapa hari lepas selepas menerima maklumat daripada seorang lelaki pada Khamis yang mengaku membunuh isterinya di rumah mereka.

Jenazah wanita itu, Allahyarham Wan Khairul Safinah, 44, telah dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Suka Menanti, Alor Setar selepas solat Asar semalam.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS