Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun Amanah bidas DAP Melaka, jemput ahli RXZ ke Shah Alam
Diterbitkan:  Dec 15, 2025 2:26 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

Adun Batu Tiga daripada Amanah, Danial Al-Rashid membidas kenyataan pemimpin DAP Melaka yang mengkritik penganjuran RXZ Members Ride 3.0 di negeri itu sebagai mengganggu ketenteraman awam.

Jelasnya kenyataan pemimpin DAP itu sangat memalukan, bersifat stereotaip dan menunjukkan kegagalan memahami minat serta budaya anak muda hari ini.

"Saya mengambil maklum kenyataan oleh pimpinan DAP Melaka yang melabelkan komuniti RXZ Members sebagai “gangguan ketenteraman dan keselamatan awam”.

"Kenyataan sedemikian adalah sangat memalukan, bersifat stereotaip, dan jelas menunjukkan kegagalan memahami minat serta budaya anak muda hari ini.

"Tidak semua peminat motosikal klasik RXZ adalah samseng jalanan atau pembuat onar. Ramai dalam kalangan mereka ialah pekerja, usahawan, mekanik, malah anak muda yang menjadikan RXZ sebagai identiti, hobi dan seni warisan automotif tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Justeru selaku Adun Batu TIga, Danial berkata dia ingin menjemput RXZ Members dari seluruh negara untuk datang ke Shah Alam.

"Di sini, kita meraikan minat anak muda, bukan dengan prejudis dan tuduhan melulu. Apa yang penting ialah penguatkuasaan berhemah, dialog terbuka, dan pendekatan mendidik — bukannya menghasut kebencian terhadap satu komuniti hanya kerana minat mereka berbeza,"tegasnya.

Semalam, DAP Melaka dilapor menyuarakan bantahan terhadap penganjuran program RXZ Members Ride 3.0 yang didakwa mengganggu ketenteraman awam.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, program yang diadakan di negeri ini telah memberi kesan serius terhadap rutin harian penduduk, ketenteraman awam serta keselamatan jalan raya.

Menurutnya, berdasarkan maklum balas yang diterima daripada rakyat Melaka, berlaku aktiviti menunggang motosikal pada kelajuan tinggi dan pencemaran bunyi, terutama pada lewat malam sehingga menimbulkan gangguan.

“Selain itu, pergerakan kumpulan besar penunggang motosikal di kawasan bandar turut meninggalkan persepsi negatif kepada pelancong dan sekali gus menjejaskan imej Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Danial berkata tindakan boleh diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang, tapi bukan menghukum keseluruhan komuniti itu.

"Jika ada isu melibatkan perlumbaan haram atau pelanggaran undang-undang, ambil tindakan terhadap individu, bukan menghukum keseluruhan komuniti. Itulah asas keadilan.

"Anak muda bukan masalah. Sikap jumud dan prejudis itulah masalah sebenar," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS