Bekas setiausaha politik kanan perdana menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin digugurkan daripada jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka.
Jawatannya akan disandang oleh timbalannya Adam Adli Abd Halim yang juga timbalan menteri belia dan sukan.
Keputusan Biro Politik PKR itu berkuat kuasa semalam.
Keputusan itu diumumkan oleh Setiausaha Agung Fuziah Salleh pagi ini, tidak lama selepas Shamsul didakwa di mahkamah atas pertuduhan rasuah.
Sementara itu, Fuziah berkata jawatan Shamsul sebagai Ketua Cabang Hang Tuah Jaya kekal.
Pada 4 Dis, Shamsul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima rasuah RM176,830 daripada ahli perniagaan Albert Tei.
Dia dituduh menerima wang suapan dalam kapasitinya sebagai setiausaha politik Anwar pada masa itu, untuk membantu syarikat Tei mendapatkan lesen perlombongan mineral di Sabah.
Tei dituduh menawarkan rasuah tersebut.
