Sebuah badan bukan kerajaan, Aliran Kesedaran Negara (Aliran) meminta Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharom menjelaskan sama ada rakyat bukan Islam di negara ini boleh menyanyikan lagu kebangsaan negeri masing-masing yang menyebut perkataan "Allah".

Katanya, ini kerana Johari dilaporkan berkata kementeriannya telah mengambil tindakan terhadap akhbar mingguan Katholik - Herald - kerana menterjemahkan perkataan 'God' sebagai 'Allah'.

Menurut timbalan menteri berkenaan, perkataan Allah hanya boleh digunakan dalam agama Islam sahaja bagi mengelak sebarang kekeliruan.

"Aliran difahamkan bahawa barisan "Ya Allah Yang Maha Kuasa..." adalah sebahagian daripada lirik lagu kebangsaan Pahang.

"Adakah ini bermakna orang bukan Islam tidak boleh menyanyikan lagu kebangsaan negeri Pahang?" soal Aliran dalam satu kenyataannya Sabtu lalu.

Selain Pahang, lagu kebangsaan negeri Johor, Kedah, Perak, Selangor, Kelantan dan Terengganu juga menyebut perkataan Allah.

Herald yang merupakan akhbar rasmi Gereja Katholik di Malaysia, menghadapi masalah untuk memperbaharui permit penerbitannya, kerana dikatakan telah menggunakan perkataan "Allah" bagi merujuk kepada "God" dalam seksyen Bahasa Malaysia akhbar tersebut.

Kementerian tersebut juga dikatakan telah meminta penerbitnya membuang seksyen Bahasa Malaysia atau permitnya tidak diperbaharui apabila ia tamat dua minggu lagi.

Tiada perbincangan

Akhbar Herald, yang diterbitkan dalam empat bahasa - Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, China dan Tamil - mempunyai pengedaran sebanyak 12,000 nashkah.

Sementara itu, Aliran berkata perkataan 'Allah' telah lama digunakan sejak berkurun yang lalu tanpa sebarang masalah.

Menurutnya, ia telah digunakan oleh orang Islam, Kristian dan dunia Arab untuk merujuk kepada tuhan.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang pula menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya membatalkan arahan Johari supaya akhbar Herald tidak menyiarkan lagi Seksyen Bahasa Malaysia, memandangkan perayaan Krismas akan disambut esok.

Di samping itu, kata Lim, perbincangan juga tidak diadakan terlebih dahulu dengan pertubuhan-pertubuhan agama yang akan terbabit dengan keputusan timbalan menteri berkenaan.

Malah, katanya, keputusan untuk menutup Seksyen Bahasa Malaysia di akhbar Herald , bukan sahaja tidak sah, tetapi juga menunjukkan bahawa kerajaan sendiri tidak memberi kedudukan sewajarnya kepada Bahasa Malaysia.

Menurut Lim lagi, perkataan "Allah" telah digunakan untuk merujuk kepada tuhan di kalangan penganut Kristian sejak sekian lama di banyak negara dan ia tidak pernah menimbulkan kemarahan atau kekeliruan di kalangan orang Islam.

Oleh itu, katanya, Abdullah harus campurtangan dan membatalkan keputusan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri itu atau ia akan dianggap sebagai satu lagi isyarat bahawa Malaysia terus menggenakan batasan kepada agama-agama lain, sedangkan kebebasan beragama dijamin dalam perlembagaan.