Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Joachim: PBS gagal menang banyak kerusi sebab Star keluar GRS
Diterbitkan:  Dec 18, 2025 3:21 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Joachim Gunsalam, berkata kegagalan parti itu memenangi banyak kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini berpunca daripada keputusan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurutnya, pengunduran Star menyebabkan undi KadazanDusun dan Murut (KDM) berpecah, sekali gus mencetuskan pertandingan banyak penjuru di beberapa kawasan majoriti KDM, yang mengehadkan keupayaan PBS untuk memenangi kerusi tambahan.

“Susulan keluarnya Star daripada GRS, undi KDM menjadi pecah.

“Pada awalnya, kami sudah mempunyai susunan kerjasama, tetapi akhirnya… mereka bertanding menentang kami,” kata Joachim selepas merasmikan mesyuarat perwakilan parti itu di Dewan KDCA, Penampang, hari ini.

Star keluar daripada GRS pada 2 Oktober lalu susulan isu berkaitan rundingan kerusi serta rasa tidak puas hati terhadap kerjasama melibatkan Pakatan Harapan.

Untuk rekod, PBS memenangi tujuh kerusi dalam pilihan raya negeri tersebut, jumlah yang tidak berubah berbanding pencapaian pada 2020.

PBS tewas di kubu kuatnya di Tamparuli, namun menang di kerusi Limbahau.

Bagaimanapun, Limbahau dimenangi di bawah kuota PBS oleh calon bukan ahli parti, Juil Nuatim, yang mencerminkan pendekatan pragmatik terhadap kebolehmenangan seperti yang dijelaskan oleh Joachim.

“Kami menitikberatkan kualiti. Ia bukan soal bertanding lebih banyak kerusi tetapi akhirnya kalah lebih banyak, terutama apabila dana terhad; kita perlu bijak dan bertanding secara berhemah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS