Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan pertimbang tambah bantuan wang ihsan mangsa banjir - Zahid

Jumlah bantuan wang ihsan (BWI) bagi mangsa banjir sebanyak RM1,000 yang disediakan kerajaan ketika ini, mungkin akan ditambah.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan mengenai perkara itu akan dibawa ke mesyuarat kabinet akan datang.

"Saya akan bawa cadangan ini ke mesyuarat Kabinet... dalam mesyuarat Kabinet akan datang, bersaksikan Menteri Pendidikan, saya akan sendiri akan bawa cadangan," katanya ketika ditemui media di Kuantan, Pahang, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid bersama Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar.

Terdapat 1,464 mangsa banjir ditempatkan di PPS berkenaan yang dibuka sejak Isnin.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid memaklumkan, semua mangsa banjir akan menerima BWI sebelum mereka pulang ke kediaman masing-masing.

Katanya, pendekatan itu diambil kerajaan selepas mendapati kebanyakan mangsa banjir memerlukan wang segera untuk kerja membersihkan rumah dan membeli barang keperluan lain.

"Sebelum ini kita agihkan BWI selepas mereka balik dari PPS, sekarang kita serahkan ketika mangsa masih di PPS.

"Kita tahu ada antaranya memerlukan bantuan kewangan, jadi kerajaan merasakan perlu untuk segerakan," jelasnya.

Ditanya mengenai kemungkinan mangsa banjir berulang boleh menerima BWI, Ahmad Zahid memberitahu, setiap mangsa banjir boleh menerima BWI jika terbabit dengan bencana banjir selepas tiga bulan menerima BWI kali pertama.

"Ini diuruskan oleh NADMA dan mereka boleh dapat BWI jika terkena banjir lagi, tapi dalam jarak masa tiga bulan," katanya.

Sehingga kini, katanya, seramai kira-kira 47,000 daripada mangsa banjir gelombang pertama sudah menerima BWI mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS