Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Seruan perpaduan dari ketua PAS Perlis tarik perhatian
Diterbitkan:  Dec 20, 2025 8:57 AM
Dikemaskini: 12:57 AM

PAS Perlis malam tadi mengeluarkan kenyataan meminta ahli dan penyokong parti itu memberikan sokongan kepada Mohd Shukri Ramli sebagai menteri besar negeri terbabit.

Kenyataan yang dikeluarkan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ahmad Ali, itu menarik perhatian ketika negeri terbabit kini dipimpin oleh orang baru berbanding Mohd Shukri sebelum ini.

Menurut Ahmad di bawah kepimpinan Mohd Shukri, kerajaan Perlis dilihat menunjukkan iltizam yang ketara dalam aspek positif seperti memperkukuh tadbir urus yang baik serta menjaga kebajikan rakyat.

Tidak ketinggalan, kata Ahmad, kerajaan Perlis giat mempertahankan prinsip Islam dan kepentingan ummah selaras dengan dasar perjuangan PAS serta PN.

“Seluruh kepimpinan dan ahli PAS di semua peringkat juga diingatkan agar dapat sama-sama menolak sebarang agenda yang bertujuan mengganggu gugat pentadbiran kerajaan negeri daripada mana-mana pihak, di samping memperbaharui tekad mengukuhkan kesepaduan, disiplin dan kebersamaan terhadap kepimpinan kerajaan negeri bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ia kemudian dikongsi Mohd Shukri di media sosial. Turut berbuat demikian ialah akaun Pemuda PAS Perlis.

Perkembangan itu menyusul selepas beberapa pemilihan menyaksikan Mohd Shukri gagal pemilihan sebagai Yang Dipertua PAS Arau serta kalah semasa pemilihan Jawatankuasa PAS Pusat.

Dia menyertai pemilihan itu ketika bergelar menteri besar. Bagaimanapun PAS membawa masuk Mohd Shukri menjadi sebahagian daripada badan berkenaan secara lantikan.

Hargai sokongan pesuruhjaya

Selesai pemilihan bagi sesi 20205 – 2027, kedudukan Mohd Shukri sebagai pesuruhjaya PAS negeri berkenaan kemudian digantikan oleh Ahmad.

Pada Okt lalu pula media menyiarkan laporan bagaimana Dewan Muslimat dan Dewan Ulama PAS Perlis menafikan mereka mendapat maklumat berhubung pelantikan jawatankuasa harian parti itu.

Mesyuarat tersebut, seperti dilaporkan Utusan Malaysia, didakwa berlangsung pada 7 Okt lalu.

Mengikut senarai yang dikeluarkan, lapor portal tersebut, tiga pemimpin dipilih sebagai timbalan pesuruhjaya iaitu Mohd Shukri sendiri, Yussaine Yahya (Yang Dipertua PAS Kangar) dan Saad Seman (Yang Dipertua PAS Padang Besar).

Bagaimanapun Facebook PAS Perlis kelmarin menyiarkan poster menunjukkan Ahmad bersama tiga timbalan pesuruhjaya yang agak berbeza apabila Mohd Shukri tidak tersenarai.

Sebaliknya bekas menteri besar dan bekas pemimpin berpengaruh Umno, Shahidan Kassim, menjadi timbalan pesuruhjaya yang ketiga.

Shahidan kini menjadi Ahli Parlimen Arau, anggota Jawatankuasa PAS Pusat serta Pengerusi PN Perlis.

Dalam kenyataan semalam, Ahmad berkata PAS Perlis menekankan keperluan parti itu untuk mempertahankan kerajaan negeri di bawah pimpinan Mohd Shukri.

Katanya langkah itu perlu bagi memastikan kesinambungan agenda pentadbiran yang berteraskan integriti, keadilan dan kebajikan rakyat dapat diteruskan.

Sementara itu Mohd Shukri dalam hantaran sama berkata, dia sangat menghargai keyakinan dan sokongan diberi Ahmad bagi memperkukuh kesepaduan saf kepimpinan, memelihara kestabilan pentadbiran negeri serta memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat dapat diteruskan dengan sebaiknya.

“Insya-Allah, dengan semangat kebersamaan dan keikhlasan perjuangan, kita akan terus melangkah ke hadapan demi Perlis yang lebih sejahtera, berintegriti dan diberkati Allah SWT,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS