Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas PM Pakistan Imran Khan, isteri dipenjara 17 tahun kes hadiah negara

Bekas Perdana Menteri Pakistan Imran Khan dan isterinya, Bushra Bibi masing-masing dijatuhi hukuman penjara 17 tahun pada Sabtu bagi kes hadiah negara, atau lebih dikenali sebagai kes Toshakhana-II, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Keputusan itu diumumkan di dalam Penjara Adiala di bandar garison Rawalpindi, timur laut Pakistan, di mana Imran Khan dan Bushra Bibi sedang menjalani hukuman penjara.

Hakim Khas Pusat Shahrukh Arjumand menyampaikan keputusan itu bagi kes berkaitan penjualan dan pembelian hadiah asing secara haram pada harga yang terlalu rendah.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun kepada Imran Khan dan Bushra Bibi selain mengenakan denda sebanyak 10 juta Rupee (kira-kira US$35,600) setiap seorang.

Imran dan Bushra didakwa atas kes itu tahun lepas, namun mereka menafikan tuduhan berkenaan dan menyifatkan kes itu sebagai rekaan serta bermotifkan politik.

Ini merupakan sabitan ketiga Imran dalam kes berkaitan Toshakhana. Pada Ogos 2023, sebuah mahkamah tempatan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadapnya, manakala pada Januari 2024, kedua-dua mereka dijatuhi hukuman penjara 14 tahun bagi kes Toshakhana-I.

Sejak ditahan di penjara pada Ogos 2023, Imran berdepan puluhan kes merangkumi tuduhan rasuah sehingga keganasan, yang kesemuanya disifatkan beliau sebagai "palsu."

Sejak itu, kerajaan telah memfailkan lebih 200 kes terhadap Imran, namun beliau berjaya memperoleh ikat jamin bagi kebanyakan kes terbabit.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS