Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mat Hassan pula nak rai keputusan mahkamah 'rasmikan' terowong P Pinang
Diterbitkan:  Dec 23, 2025 2:32 PM
Dikemaskini: 9:15 AM
3

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan hari ini menyindir beberapa pemimpin DAP yang menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam yang menolak permohonan Najib Razak untuk dikenakan tahanan rumah.

Menerusi satu hantaran di media sosial, menteri luar negeri itu berkata dia juga sedang menunggu untuk meraikan keputusan mahkamah berhubung perbicaraan kes rasuah projek terowong dasar laut di Pulau Pinang yang membabitkan penasihat parti itu, Lim Guan Eng.

“Saya pun tunggu nak celebrate apabila Mahkamah Tinggi merasmikan Terowong Pulau Pinang , mungkin pertengahan tahun 2026,” katanya.

Hubungan antara Umno dan DAP dilihat semakin tegang apabila Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua awal hari ini melancarkan serangan terhadap penyokong Umno dengan melabelkan mereka sebagai “pencinta seorang penyangak”.

Malah secara terbuka, Pua menegaskan dia dan partinya berbangga kerana memainkan peranan penting dalam pemenjaraan Najib.

Pua, yang membongkar skandal 1MDB semasa Najib menjadi perdana menteri, turut menyatakan bahawa “penyangak terbesar di Malaysia” itu sepatutnya berterima kasih atas “diskaun besar” yang diterimanya apabila Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjara serta denda yang dikenakan.

Hantaran itu dibuat sebagai reaksi terhadap beberapa pemimpin Umno yang mengecam Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin, kerana menyatakan bahawa kegagalan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah merupakan satu lagi sebab untuk diraikan hujung tahun ini.

Antara mereka ialah Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, dan ketua pemuda parti itu, Dr Akmal Salleh yang beranggapan kenyataan Yeo bersikap “amat kurang ajar, melampau dan langsung tidak berperikemanusiaan” kerana telah menghina seorang bekas pemimpin tertinggi yang sangat disayangi oleh seluruh keluarga Umno.

Mereka juga mencadangkan agar Umno memperhalusi kembali kedudukan dalam kerajaan perpaduan, memandangkan kerjasama dengan DAP sepanjang tiga tahun lalu tidak mencapai suasana harmoni.

Lim ketika ini sedang dibicarakan atas dakwaan menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu sebuah syarikat melaksanakan projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Dalam pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta keuntungan sebanyak 10 peratus daripada syarikat tersebut sebagai suapan bagi mendapatkan projek berkenaan. Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, pada Mac 2011.

Selain itu, ahli parlimen Bagan itu turut berdepan dua lagi pertuduhan kerana menyebabkan pelupusan dua bidang tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta kepada syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan projek tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
3
ADS