Menteri Besar Perlis Shukri Ramli menyambut baik tindakan PAS menghentikan keahlian tiga Adun parti itu, susulan pergolakan yang dihadapi kerajaan negeri.
“Alhamdulillah, setiap perkara ada hikmahnya.
“Tindakan yang diambil oleh PAS Pusat membuktikan bahawa prinsip, disiplin dan amanah perjuangan sentiasa dijunjung tinggi,” katanya dalam catatan ringkas di Facebook awal pagi tadi.
Dalam hantaran itu, Shukri yang juga bekas pesuruhjaya PAS Perlis turut melampirkan kenyataan PAS berhubung pemecatan tersebut.
Semalam, PAS menghentikan keahlian tiga Adun parti itu di Perlis, iaitu Saad Seman (Chuping), akhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Ia selepas mereka dan lima Adun Bersatu dilaporkan menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, bagi menyatakan hilang keyakinan terhadap Shukri.
Mereka membentuk majoriti mudah dalam DUN Perlis yang mempunyai 15 kerusi.
Dalam kenyataan semalam, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata pemecatan dibuat berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (pindaan 2025).
Fasal berkenaan merujuk kepada tindakan yang menyebabkan keanggotaan daripada parti itu terhenti, termasuklah menyertai atau menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.
Abdul Hadi berkata pihaknya akan memaklumkan keputusan itu secara rasmi kepada speaker DUN Perlis.
