Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2

Peguam Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah berkata bekas perdana menteri itu tidak pernah campur tangan dalam sebarang siasatan berkaitan 1MDB.

Berhujah di depan hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah, Shafee mendakwa Najib juga telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang menyiasat skandal 1MDB, walaupun ketika itu dia masih merupakan Perdana Menteri.

“…Apa yang penting, Yang Arif, berbeza dengan pemimpin-pemimpin terdahulu di Malaysia yang campur tangan dalam siasatan ke atas mereka sendiri, tertuduh di sini, tidak ada dakwaan yang dia telah campur tangan dalam siasatan,” katanya.

Hujah Shafee ini sebagai sebahagian daripada faktor mitigasi bagi memohon pengurangan hukuman bagi sabitan bersalah terhadap Najib.

Ia walaupun Sequerah jelas membangkitkan tindakan Najib menyingkirkan pegawai yang mengetuai siasatan terhadap 1MDB ketika dia menjadi Perdana Menteri.

“Bukti juga menunjukkan tertuduh mengambil tindakan berikut dengan membubarkan pasukan petugas khas pada Julai 2015 yang menyiasat 1MDB dan kemasukan wang ke akaun peribadi tertuduh, selain penyingkiran secara mengejut peguam negara ketika itu, Abdul Gani Patail, yang mengetuai pasukan tersebut, serta penyingkiran ketua pesuruhjaya SPRM Abu Kassim ketika SPRM sedang mempergiat siasatan (ke atas 1MDB),” katanya ketika membacakan penghakimannya tadi.

‘Kes SRC tidak dibicara dengan adil’

Selain itu, Shafee memetik keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman penjara dan denda Najib dalam kes SRC International, yang menurutnya membuktikan bahawa Najib tidak menerima perbicaraan yang adil dan telah mengalami “penindasan yang besar”.

“Satu-satunya alasan yang diberikan (dalam petisyen pengampunan Najib), satu-satunya alasan adalah Najib tidak diberikan hak perbicaraan yang adil sehingga ke peringkat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.

“Malah, kami menekankan bahawa dia tidak pernah hadir sebarang pendengaran di Mahkamah Persekutuan.

“Oleh itu, perkara yang ingin kami tegaskan ialah tempoh penjaranya dikurangkan kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta.

“Alasan yang diberikan, apabila Yang di-Pertuan Agong ketika itu menerimanya, baginda mengambil kira satu alasan yang diberikan, bahawa Najib tidak menerima perbicaraan yang adil dalam kes SRC.

“Kenapa ini relevan? Saya tidak mahu pihak pendakwaan berkata dia telah disabitkan sebelum ini, yang ini (kes 1MDB) adalah kesalahan keduanya,” kata Shafee lagi.

‘Beban tanggungjawab tak seimbang’

Shafee turut memetik rekod panjang perkhidmatan Najib kepada negara dan masalah kesihatan sebagai faktor yang patut dipertimbangkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Menurutnya, Najib menanggung beban yang tidak seimbang dalam keputusan yang dibuat secara bersama, sementara pihak lain “masih belum berdepan kebertanggungjawaban yang setara”.

Dia menamakan beberapa individu, termasuk ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, dan saksi-saksi kes 1MDB seperti Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Hazem Abdul Rahman, Azmi Tahir, Jasmine Loo dan Amhari Effendi Nazaruddin.

Shafee juga mendakwa pihak berkuasa tidak berusaha secara sepenuhnya untuk membawa Jho Low pulang ke negara bagi berdepan tindakan undang-undang.

Berhubung wang yang diseleweng dari 1MDB, Shafee berhujah sebahagian besar (kira-kira AS$620 juta atau RM2.4 bilion) telah dipulangkan dan Najib tidak pernah menggunakan wang itu untuk kegunaan peribadi.

“Dia hanya guna RM300 juta daripada wang itu untuk tujuan pilihan raya, kebajikan, dan CSR (tanggungjawab sosial korporat).”

Kesihatan merosot

Membangkitkan umur dan masalah kesihatan Najib, Shafee berkata bekas presiden Umno itu mengalami pelbagai masalah kesihatan, termasuk ulser berdarah dan tekanan darah tinggi yang teruk.

Katanya, Najib juga mengalami keradangan di kedua-dua lutut dan memerlukan cuti sakit selepas pembedahan mata.

Sesi mitigasi berlangsung lebih sejam. Pihak pendakwaan kini sedang membentangkan hujah mereka.

Kemudian, hakim dijangka akan membuat keputusan dan mengumumkan hukuman terhadap Najib.

Terdahulu, Sequerah memaklumkan mahkamah memutuskan Najib bersalah atas semua empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram dalam kes 1MBD melibatkan dana berjumlah RM2.3 bilion.

Berita berkaitan:

Kes 1MDB: Najib didapati bersalah kesemua 25 pertuduhan

Hakim: Ada ikatan ‘tak dapat disangkal’ antara Najib-Jho Low

Hakim: Najib bukan ‘orang kampung’ pura-pura jahil dana 1MDB

Kes 1MDB: Mahkamah putuskan surat derma Arab ‘palsu’


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS