Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
1

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak surat derma Arab yang dikemukakan pasukan pembelaan bekas perdana menteri Najib Razak dalam perbicaraan 1MDB, menegaskan dokumen itu sebagai “pemalsuan”.

Ketika membacakan keputusan mahkamah pagi ini, Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata pengkisahan Najib sendiri berkaitan dana itu sebagai derma Arab menjadikannya tidak munasabah.

“Naratif derma dari Arab Saudi tiada merit. Surat-surat derma dari Arab merupakan pemalsuan,dan keterangan jelas menunjukkan wang tersebut sebenarnya berpunca daripada dana 1MDB.

“Mahkamah ini mendapati pembelaan derma dari Arab tidak boleh dipercayai dan gagal menangkis anggapan suapan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM,” kata hakim itu.

Collin baru-baru ini dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Persekutuan namun dia menyampaikan keputusan terakhirnya itu sebagai hakim Mahkamah Tinggi dalam kapasiti tersebut dari Istana Kehakiman di Putrajaya.

Dalam penghakimannya, Hakim Sequerah berkata tiada resit dikeluarkan oleh kerajaan atau mana-mana parti politik yang mengakui penerimaan wang tersebut.

“Tiada juga bukti pengakuan rasmi oleh kerajaan atau mana-mana parti politik kepada penderma yang didakwa, mahupun oleh tertuduh sendiri. Selain itu, surat sumbangan Arab yang didakwa ditujukan ke kediaman peribadi tertuduh dan bukannya ke alamat rasmi atau parti,” kata hakim itu.

Tegasnya tiada rekod rasmi atau minit oleh tertuduh mengenai sumbangan yang didakwa itu, mahupun bukti yang mengaitkan penderma keluarga diraja itu dengan sumbangan politik yang sah.

Hakim Sequerah turut berkata mustahil untuk mempercayai jumlah wang yang begitu besar boleh dipindahkan ke akaun tertuduh tanpa rekod akaun yang lengkap dan telus.

“Pada masa itu, parti politik yang dipimpin tertuduh ialah Umno, parti politik terbesar di Malaysia dengan sejarah sejak 1946. Mustahil bagi seseorang dalam jawatan Perdana Menteri untuk tidak menyimpan rekod akaun yang betul bagi sebuah parti yang kononnya menerima jumlah wang yang besar sedemikian,” kata hakim itu.

Walaupun wang tersebut didakwa sebagai sumbangan politik namun hakim berkata ia tidak akan menghalalkan penggunaannya sekiranya ia berasal daripada sumber haram.

“Mahkamah menegaskan bahawa tujuan penggunaan dana itu adalah kritikal, tanpa mengira niat yang didakwa sebagai sumbangan.

“Sebagai kesimpulan, walaupun dana tersebut didakwa dimaksudkan sebagai sumbangan politik, iaitu dakwaan itu sendiri didapati tidak berasas, ia tetap tidak menjadikan penggunaan dana tersebut sah sekiranya ia berasal daripada sumber haram, kerana tujuan penggunaan dana itu tidak relevan.”

"Justeru, hujah tertuduh bahawa wang yang diterima adalah untuk sumbangan politik adalah tidak boleh diterima,” kata hakim itu lagi.

Najib, 72, didakwa pada 2018 atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram. Perbicaraan kes itu bermula pada tahun berikutnya.

Bekas perdana menteri itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014 di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, dia dituduh melakukan kesalahan di bank yang sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Pertuduhan salah guna kuasa difailkan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dengan penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Pertuduhan pengubahan wang haram pula difailkan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan, yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.



Najib diarahkan membela diri terhadap pertuduhan berkenaan pada 30 Oktober 2024 selepas Collin memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Selain kes SRC International yang telah diputuskan pada 2022 dan kes 1MDB, Najib sebelum ini berdepan tiga lagi kes rasuah berprofil tinggi.

Bagaimanapun, dia diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi dua kes dan dibebaskan sepenuhnya bagi satu lagi pertuduhan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS