Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cukup berpolitik, Sultan Selangor desak fokus masalah rakyat
Diterbitkan:  Dec 29, 2025 3:45 PM
Dikemaskini: 7:52 AM

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu melihat masalah banjir ditangani secara tuntas dengan sasaran yang jelas untuk mencapai zero flood (sifar banjir).

Baginda bertitah usaha menangani banjir tidak boleh lagi bersifat sementara atau beralasan sebaliknya perlu melibatkan perancangan jangka panjang dengan menggunakan kepakaran terbaik serta teknologi terkini.

“Carilah kepakaran terbaik sama ada dari dalam mahupun luar negara. Gunakan ilmu, teknologi dan pengalaman. Jangan lagi berlindung di sebalik alasan kerana penderitaan rakyat tidak boleh dijadikan harga yang perlu dibayar akibat kegagalan perancangan.

“Beta maklum kita tidak mampu menghalang ribut, taufan, hujan lebat atau bencana alam yang merupakan ketentuan Ilahi. Namun beta yakin, banjir boleh diatasi sekiranya wujud sistem yang baik, perancangan jangka panjang dan pelaksanaan yang jujur serta berdisiplin,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian menerusi perutusan Tahun Baharu 2026 yang dimuat naik pada akaun Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Selain itu, Sultan Sharafuddin menasihatkan mereka yang diamanahkan kuasa serta tanggungjawab, khususnya pemimpin politik di Selangor agar menghentikan perbalahan politik dan menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat.

Baginda bertitah segala perancangan dan tindakan hendaklah berteraskan satu matlamat utama, iaitu kemakmuran rakyat dan kestabilan negeri.

“Beta ingin berpesan cukup-cukuplah bercakap pasal politik, fokus bekerja untuk menyelesaikan masalah rakyat kerana tidak lama lagi akan berlangsung pilihan raya umum.

“Tumpukan segala tenaga dan fikiran kepada usaha membina pembangunan yang nyata agar rakyat dapat hidup lebih selesa, terpelihara kebajikannya dan merasa dilindungi oleh sistem yang adil serta berkesan. Ingatlah, tiada yang mustahil jika niat tulus dan usaha itu bersungguh-sungguh,” titah baginda.

Menerusi perutusan itu, Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2026 kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama serta latar belakang.

Sultan Sharafuddin menzahirkan harapan agar 2026 membawa kemakmuran lebih besar kepada rakyat Selangor serta menjadi titik azam untuk menjadi insan lebih baik, berakhlak dan bermanfaat kepada keluarga, masyarakat dan negeri.

“Semoga Allah SWT memberkati negeri ini dan seluruh rakyat beta. Selamat Tahun Baharu 2026,” titah baginda.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS