Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Berilah sedikit ruang untuk kami bersuara, kata Mufti WP
Diterbitkan:  Dec 29, 2025 4:51 PM
Dikemaskini: 8:56 AM

Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil mempertahankan tindakan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin dalam memberi pandangan soal politik di negeri itu.

Fauwaz berkata, adalah tidak sepatutnya mufti-mufti menjadi mangsa kecaman hanya kerana mereka memberi pandangan dan nasihat, bukannya berebut jawatan politik.

"Mufti-mufti sentiasa menjadi sasaran hentaman apabila memberi nasihat. Sepatutnya berilah ruang untuk mufti berbicara kerana mufti diberi peranan untuk menasihati, tidak ada kepentingan untuk berebut jawatan atau bertanding.

"Dalam jiwa kami adalah untuk melihat negara ini aman dan makmur berteraskan syariah dan maqasid syariah.

"Berilah mufti-mufti hak bersuara sedikit," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Mohd Asri Zainul Abidin

Terdahulu, Mohd Asri membidas pihak yang mempertikai pendiriannya berhubung krisis politik di Perlis, khususnya selepas dia meminta pemimpin politik memberi penjelasan terhadap dakwaan yang dibuat tanpa disertakan bukti.

Walaupun tidak menyebut mana-mana pihak secara langsung, kenyataan Mohd Asri dipercayai ditujukan kepada pemimpin PAS yang mengkritiknya kerana didakwa mencampuri urusan politik negeri berkenaan.

Mohd Asri mempertahankan pendiriannya sambil mempersoalkan percanggahan sikap segelintir pihak yang sebelum ini menegaskan agama dan politik tidak boleh dipisahkan, namun kini menolak tegurannya atas alasan beliau seorang mufti.

"Apabila saya kata: ‘Jika buat tuduhan, nyatakan bukti supaya tiada yang menjadi mangsa’. Kamu kata: ‘Mufti cakap agama sahaja, jangan cakap hal politik. Kalau nak cakap, sila masuk bertanding.’

"Semalam kamu kata agama dan politik tidak boleh berpisah. Kamu kata: ‘sesiapa yang memisahkan agama dan politik maka dia menjadi kafir’. Maka dalam sejarah kamu, begitu ramai yang telah menjadi mangsa kafir mengkafir atas teori tersebut.

"Hari ini lain pula bunyinya. Kemudian, larangan membuat tuduhan tanpa bukti itukan larangan agama? Sudah berapa kali kamu ubah agama kerana kehendak politik kamu? Apakah agama yang kamu perjuangkan selama ini," tulisnya pada satu hantaran di Facebook.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS