Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Koperal mengaku tidak bersalah rogol remaja perempuan bawah umur

Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kangar hari ini atas tujuh pertuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur pada tahun lepas dan tahun ini.

Muhammad Farhan Abdul Karim, 34, minta dibicarakan selepas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.

Mengikut kesemua pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol remaja perempuan itu yang kini berusia 15 tahun di beberapa lokasi di Kangar pada November 2024 serta antara Jun, Julai, September dan Oktober lepas.

Lelaki itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di dalam sebuah kenderaan Proton Waja milik pasukan Polis Diraja Malaysia berhadapan Bengkel Reka Bentuk Teknologi & Teknologi 1 sebuah sekolah menengah, di Kangar.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama di tandas perempuan dan tandas lelaki sekolah yang sama, serta di sebuah hotel dan rumah di Taman Hijrah di Kangar.

Muhammad Farhan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan jika didapati bersalah.

Ana Rozana kemudiannya membenarkan Muhammad Farhan diikat jamin berjumlah RM42,000 bagi kesemua pertuduhan itu, berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 20 Jan 2026 untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Natasha Azmi, manakala Muhammad Farhan diwakili Peguam Hasnor Arysha Hamdan dan Nurul Hanani Che Nor.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS