Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kertas siasatan anggota polis pukul pemuda di Banting diserah ke AGC

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes anggota pasukan itu yang didakwa memukul seorang pemuda di Banting, Selangor pada bulan lepas, kepada Pejabat Peguam Negara.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Muhamad Farid Ahmad berkata kertas siasatan itu diserahkan pada minggu lepas dan pihaknya masih menunggu arahan selanjutnya. 

"Saya memberikan jaminan siasatan terhadap kes ini dijalankan secara telus," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelupusan Barang Kes di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang hari ini.

Pada 23 Dis lepas, Bernama melaporkan polis sedang menyiasat dakwaan seorang lelaki warga tempatan dipukul oleh individu dipercayai anggota polis, di sebuah rumah di Kampung Sungai Ingat, Banting bulan lepas. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat DSP Mohd Sufian Amin berkata laporan diterima daripada ibu mangsa yang mendakwa menerima satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi tiga minit, memaparkan anaknya ditampar oleh individu yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Menurut laporan itu, anak pengadu ditampar beberapa kali dengan tujuan mencari barang bukti dan bapa pengadu juga memaklumkan menyaksikan perkara itu berlaku.

Mengulas perkembangan kes lain, Muhamad Farid berkata pihaknya telah merujuk kertas siasatan berkaitan kes pekerja restoran makanan segera dipukul oleh wanita yang didakwa tidak berpuas hati berkaitan urusan perniagaan di TikTok, kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya

Dia berkata suspek wanita berusia 40 tahun yang terlibat dalam kes berkenaan akan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 8 Jan ini.

"Suspek kini berada di luar negara dan kita akan tuduh dia pada 8 Jan ini setelah dia pulang ke tanah air," katanya.

Menurut laporan media, kejadian berlaku pada empat petang, 8 Dis lepas dengan mangsa mengalami bengkak pada pipi kiri dan luka kecil pada bibir kiri.

Dalam pada itu, Muhamad Farid berkata sebanyak 283,872 kotak rokok, 53,691 tin dan botol minuman keras, 178 barang kes perjudian, 353 mesin bitcoin dan lain-lain barangan kes yang dirampas bernilai RM3.5 juta dilupuskan pada majlis berkenaan.

Dia berkata ia melibatkan 673 kertas siasatan sejak 2010 sehingga tahun ini.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS