Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ketua Dapsy Pulai letak jawatan, umum keluar DAP
Diterbitkan:  Dec 30, 2025 9:20 PM
Dikemaskini: 1:20 PM

Ketua Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Pulai, Sor Wat Kit meletakkan jawatan daripada semua jawatan dalam parti itu sekali gus keluar daripada DAP.

Bekas Pengarah Biro Hal Ehwal Mahasiswa Dapsy Johor serta Setiausaha DAP Cawangan Taman Sutera itu menjelaskan, langkah tersebut diambil selepas tidak bersetuju dengan beberapa keputusan yang dibuat kepimpinan pusat parti serta sayap DAPSY Johor.

“Keputusan saya untuk keluar daripada parti ini bukanlah semata-mata berpunca daripada kekecewaan terhadap individu atau kepimpinan tertentu.

“Sebaliknya lebih didorong keinginan saya untuk memperluaskan pengalaman dan pendedahan politik selagi usia masih muda dengan meneroka platform yang berbeza,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Dia menyatakan demikian menerusi sepucuk surat peletakan jawatan yang dialamatkan kepada Setiausaha Organisasi DAP, Khoo Poay Tiong, bertarikh 28 Disember lalu.

Menurut Wat Kit, keputusan itu turut didorong oleh hasrat untuk mendalami realiti sebenar landskap politik negara serta memahami konsep Malaysia untuk rakyat Malaysia melalui penglibatan dan interaksi yang lebih menyeluruh bersama pelbagai kaum dan parti politik.

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan seperjuangan dan para pemimpin yang banyak membimbing serta memberi peluang kepada saya sepanjang penglibatan dalam parti.

“Walaupun saya memilih untuk melangkah pergi, segala jasa, pengorbanan dan persahabatan yang terjalin tidak akan saya nafikan mahupun lupakan,” katanya.

Terdahulu, pada awal bulan ini, empat pemimpin Dapsy Johor, termasuk ketuanya Loh Wei Jian, turut mengumumkan peletakan jawatan masing-masing berikutan peningkatan komitmen terhadap urusan organisasi.

Loh Wei Jian memaklumkan bahawa dia bersama Setiausaha Dapsy Johor, Suweeta Lam Xiao Wei; Setiausaha Penganjur, Lee Jia Hau; serta Ahli Jawatankuasa, Lee Wan Chian telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Sekretariat Dapsy Kebangsaan pada jam 7 pagi Isnin, 1 Disember lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS