Dr Mahathir Mohamad dilaporkan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN), di Kuala Lumpur pagi tadi akibat terjatuh di kediamannya pada awal pagi.
Setiausaha Akhbar bekas perdana menteri itu, Sufi Yusoff, dalam hantaran menerusi makluman di saluran kumpulan media rasmi Dr M Media Updates di aplikasi WhatsApp membeitahu Mahathir dalam keadaan sedar dan terus dikejarkan ke IJN dengan ambulans dari kediamannya pada sekitar jam 9 pagi tadi.
Namun, Sufi berkata, dia tidak boleh mengulas lanjut sehingga mendapatkan kemaskini laporan perubatan.
“Dia dimasukkan ke IJN akibat terjatuh dan kini masih dalam proses pemantauan secara keseluruhan,” katanya.
Dia menambah ketika kejadian difahamkan Mahathir sedang berjalan dari bahagian balkoni ke ruang tamu kediamannya.
Kali terakhir, Mahathir dimasukkan ke IJN adalah pada 13 Julai lalu susulan akibat keletihan selepas menghadiri sebuah program sempena ulang tahun kelahirannya ke-100 dan isterinya ke-99 di Putrajaya.
Sementara itu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang kini dalam perjalanan ke Turkiye bagi lawatan rasmi mendoakan kesembuhan buat Dr Mahathir melalui hantaran ringkas di media sosialnya.
"Saya dan Azizah mendoakan keafiatan dan kesembuhan segera buat Tun, Insya-Allah," katanya, hari ini.
