Pelakon, penyanyi dan pelawak popular era 1980-an, Isma Aliff, 62, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Melayu Ampang di Kuala Lumpur, sekitar 8.30 pagi tadi.
Berita pemergian Isma Aliff atau nama sebenarnya Muhammad Latiff Ismail disahkan adiknya, Shamsidah, 60, yang memaklumkan kesihatan abangnya kian merosot sejak seminggu lepas.
“Sejak kebelakangan ini abang memang tidak larat dan banyak terbaring sahaja. Makan pun dia tidak lalu.
"Pagi tadi saya sempat menjenguk dia sebelum pergi kerja, dia memang lemah dan hanya terbaring sahaja tapi apabila balik semula (ke rumah itu), dia sudah tiada,” katanya kepada Bernama.

Allahyarham sebelum ini pernah diserang angin ahmar hingga menyebabkan lumpuh sebelah badan sekitar 2023.
Shamsidah menceritakan abangnya tinggal bersendirian selepas kematian ibu mereka pada 2024 dan menguruskan diri sendiri, termasuk memasak serta melakukan aktiviti harian.
"Saya berharap peminat mendoakan kesejahteraan Allahyarham dan mengenang jasa serta kenangan manis yang ditinggalkan sepanjang hayatnya," katanya.
Jenazah Isma Aliff akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana selepas solat Asar hari ini.
Allahyarham pernah popular menerusi lakonannya dalam telefilem Enot dan Enot2 Rayalah Pulak! pada 2002.
- Bernama
