Ujian larian tanpa gagal (Failure-Free Run, FFR) bagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) masih belum dapat dimulakan berikutan beberapa isu yang sedang dihadapi, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata susulan itu, mesyuarat antara Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dan kontraktor utama akan diadakan minggu depan untuk memutuskan tindakan seterusnya serta memaklumkan kepada Kementerian Pengangkutan tarikh pelaksanaan FFR.
“FFR mesti dijalankan ke atas semua kereta api di laluan berkenaan sebelum operasi percubaan dimulakan. Setakat ini, hanya tiga set kereta api LRT3 yang berjaya menamatkan FFR.
“… walaupun kami berasa kecewa dengan kelewatan ini, keselamatan mesti diutamakan,” katanya pada sidang media mengenai prestasi Prasarana pada 2025 dan prospek 2026 di Petaling Jaya, hari ini.
Sebelum ini, Prasarana mengesahkan laluan LRT3 tidak dapat memulakan operasi pada Dis 2025 kerana perlu menyelesaikan isu kestabilan sistem dan perisian yang masih dikesan semasa fasa ujian dan penyediaan perkhidmatan.
Dalam perkembangan berasingan, Loke berkata pintu skrin platform akan dipasang di 20 stesen tahun ini.
- Bernama
