Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAU minggu depan dijanga tumpu hala tuju parti, PRU16
Diterbitkan:  Jan 8, 2026 10:12 AM
Dikemaskini: 2:12 AM

Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung minggu depan dijangka menjadi medan penting bagi parti itu menegaskan hala tuju politik serta persediaan menghadapi PRU ke-16.

Tumpuan dijangka terarah kepada suara akar umbi, khususnya mengenai pendirian pimpinan Umno yang mahu kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal ini walaupun terdapat gesaan daripada sayap pemuda supaya mereka keluar.

Pakar geostrategi, Prof Azmi Hassan, berkata perhimpunan itu adalah platform terbaik untuk Umno menamatkan sebarang spekulasi sama ada akan kekal dalam kerajaan atau mengambil keputusan sebaliknya.

Bagaimanapun, felo Majlis Profesor Negara itu yakin Umno tidak akan mengambil sebarang keputusan drastik yang berisiko menggoncang kestabilan politik negara.

“Dalam perkara ini, Umno juga perlu melihat ke depan. Adakah mereka bersedia dalam tempoh satu setengah tahun ini untuk menjadi pembangkang? Isu-isu ini akan dibahaskan supaya imbangan pandangan lebih ideal dan tidak berat sebelah,” katanya kepada Bernama.

Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Prof Madya Mazlan Ali, berkata isu hubungan Umno dalam kerajaan Madani dijangka menjadi antara perkara yang mendominasi perbahasan perwakilan.

“Isu ini perlu dibincangkan secara terbuka dalam perhimpunan bagi mendapatkan mandat perwakilan sama ada Umno akan kekal bersama kerajaan atau mengambil haluan politik lain,” katanya.

Selain itu, dia berkata perhimpunan itu juga dijangka membincangkan usaha parti memperkukuh agenda Melayu dan bumiputera, selain pemerkasaan parti dalam menghadapi PRU ke-16 selepas prestasi pilihan raya lalu yang menyaksikan Umno hanya memenangi 26 kerusi parlimen.

Sementara itu, penganalisis politik Prof Sivamurugan Pandian berkata perhimpunan itu berperanan sebagai medan konsolidasi dan pengesahan sokongan ahli parti terhadap kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia itu menyifatkan perkara berkenaan sebagai asas penting bagi Umno sebelum merangka strategi menghadapi PRU akan datang.

“Data pilihan raya pasca-PRU15 menunjukkan perpecahan dalaman melemahkan prestasi Umno.

“Justeru, perhimpunan ini dijangka menegaskan bahawa kesetiaan kepada kepimpinan pusat adalah prasyarat utama penyatuan dan kebangkitan semula parti,” katanya.

Perhimpunan Agung Umno akan berlangsung pada 14 hingga 17 Jan ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Sebelum ini ia ditangguhkan dua kali – pada Ogos dan Nov – bagi memberi laluan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS