Seorang peguam didakwa di Mahkamah Majistret di Marang hari ini atas tiga pertuduhan bersubahat mengedar dan memiliki dadah pada 23 Dis lepas.
Che Muhammad Amir Syafiq Che Musa, 33, didakwa bersubahat mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 123 gram bersama Muhammad Syafiq Syahmi Mohamad Zafri, 26.
Perbuatan itu dilakukan di lokap Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu antara 9 pagi hingga 12 tengah hari, 23 Dis lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 33 Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 39B(1) (a) dan Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati, boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Che Muhammad Amir Syafiq turut berdepan dua lagi pertuduhan berasingan iaitu bersubahat memiliki dadah jenis kanabis seberat 21 gram serta nimetazepam seberat 13 gram bersama Muhammad Syafiq Syahmi di lokasi, masa dan tarikh sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 33 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta antara tiga dan sembilan sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan memiliki kanabis, tertuduh didakwa mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta sebatan.
Sementara itu, bagi pertuduhan memilik nimetazepam, tertuduh berdepan hukuman denda hingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun di bawah akta sama.
Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Athirah Hashim.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah dan Noradila Ab Latif manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Syaza Firdaus Rashid.
Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kerana pertuduhan di bawah Seksyen 39B merupakan kesalahan tidak boleh dijamin.
Mahkamah menetapkan 29 April untuk sebutan semula kes.
- Bernama
