X-Fail 2007: Masih cerita yang sama...
Siapa, apa, bila, di mana, mengapa dan bagaimana? Itulah jawapan yang kami ingin cari apabila Malaysiakini menyorot kembali isu-isu utama yang berlaku sepanjang tahun ini atau semuanya akan berakhir dalam x-fail!
Siapa, apa, bila, di mana, mengapa dan bagaimana? Itulah jawapan yang kami ingin cari apabila Malaysiakini menyorot kembali isu-isu utama yang berlaku sepanjang tahun ini atau semuanya akan berakhir dalam x-fail!
Munculnya pengundi hantu
Nama hilang, tambahan nama pengundi, pemindahan pengundi tanpa pengetahuan mereka, ramai pengundi menggunakan alamat yang sama serta kehadiran bas-bas yang membawa pengundi pada hari pemilihan dan macam-macam lagi yang berlaku.
Senario yang sama bulang sewaktu pilihanraya kecil Ijok April lalu apabila kerusi tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya, K Sivalingam.
Senarai pemilihnya mengandungi pengundi berusia lapan tahun (berdasarkan nombor kad pengenalannya) dan 31 pengundi lagi berusia melebih 100 di mana 19 daripadanya berusia 107 tahun, demikian menurut laporan sebuah badan pemantau pilihanraya yang bejaya mengesan 'pengundi hantu' tersebut.
Pada bulan October pula, dilaporkan seramai 8,463 pengundi baru telah dipindahkan dari kawasan pilihanraya Ipoh Timur antara 1 April hingga 30 Jun. Mereka termasuk 3,208 pengundi pos, sedangkan di situ tidak terdapat kem tentera atau stesen polis yang baru. Malah, pengundi terbabit juga tidak dimaklumkan mengenai pemindahan nama mereka ke tempat pengundian yang baru itu.
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mendakwa ia boleh berbuat demikian untuk mengemaskini senarai pemilih. Ekoran itu, ada pengundi yang terpaksa bergegas ke sana ke mari sewaktu pilihanraya untuk mengesan nama mereka dalam senarai pemilih.
Berikutan, tempoh perkhidmatan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman telah dilanjut setahun lagi, nampaknya tidak akan ada sebarang pembaharuan dan masalah tersebut akan berlanjutan.
Cahaya harapan untuk siapa?
Sejak Projek Pembangunan Wilayah Iskakandar (WPI) dilancarkan lewat tahun lalu, kerajaan turut melancarkan dua lagi pelan induk pembangunan berbilion ringgit - Projek pembangunan Ekonomi Koridor Utara, yang membabitkan RM177 bilion dan Projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur, dengan kos RM120 bilion.
Projek-projek tersebut, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bermatlamat untuk menyediakan cahaya harapan kepada kumpulan rakyat berpendapatan rendah, terutama golongan miskin tegar, untuk keluar daripada garis kemiskinan dan menikmati hasil pembangunan negara.
Sektor swasta dan pelabur asing dijangka menyumbang sebahagian besar pembiayaannya yang diperlukan, tetapi sehingga hanya beberapa pelaburan besar yang diumumkan, termasuk suntikan RM4.1 bilion dari syarikat-syarikat Timur Tengah.
Butir-butir terperinci mengenai projek tersebut - seperti insentif untuk golongan berpendapatan rendah dan peniaga kecil - belum lagi dimuktamadkan. Ringkasnya, faedah-faedah sebenarnya terus menghindarai mereka yang menunggu untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.
Hanya proje-projek mega yang mula menjadi kenyataan setakat ini, apabila semua tendernya telah diagihkan kepada syarikat-syarikat yang berkaitan dengan kerajaan dan Umno. Ia termasuk:
• Jambatan kedua Pulau Pinang - diberikan kepada UEM Builders dan sebuah syarikat dari China.
• Projek hub pengangkutan bersepatu Penang Sentral - diberikan kepada Malaysian Resources Corporation Bhd
• Pusat Bandar Global Pulau Pinang - diberikan kepada Abad Naluri Sdn Bhd, yang berkaitan dengan Patrick Lim aka Patrick Badawi
Nampaknya, projek-projek ini hanya menguntungkan golongan kroni kapitalis.
Pembangkang belajar dari pengalaman lalu
Tarikh akhirnya bulan Julai. Tetapi lima bulan sudah berlalunya dan rundingan pengagihan kerusi di kalangan pembangkang masih belum selesai, walaupun pemimpin PAS, PKR dan DAP berkata mereka sudah mencapai kata sepakat membabitkan sebahagian besar kerusi yang bakal ditandingi dalam pilihanraya umum nanti.
Rundingan tersebut penting bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN). Pembangkang terlepas peluang untuk memenangi beberapa kerusi dalam pilihanraya umum yang lalu kerana berlakunya pertandingan tiga penjuru.
Permasalahannya setakat ini nampaknya di pihak DAP-PKR. DAP dikatakan bertegas untuk bertanding di kerusi majoriti Cina, begitu juga dengan PKR yang mahu meletakkan calonnya di kawasan yang sama.
Di peringkat awal rundingan, hanya tiga pemimpin utama mereka dibenarkan bercakap mengenai hasil rundingan tersebut. Ini ekoran aduan pernah berlakunya kebocoran sebelum ini sehingga telah menjejaskan rundingan tersebut.
Pembangkang nampaknya telah belajar dari pengalaman lalu dan mencuba sebaik mungkin untuk mengelak perang mulut di media berhubung pengagihan kerusi kali ini. Apakah kali ini pembangkang dapat mengelak berulangnya pertandingan tiga penjuru yang berlaku pada saat-saat akhir?
Sampai bila masyarakat minoriti diabaikan?
Dari kisah Orang Asli dan Orang Asal yang berjuang untuk mengekalkan pemilikan tanah nenek moyang mereka hinggalah kepada kisah peminggiran kaum India, nampaknya masyarakat Malaysia masih jauh daripada mencapai kesaksamaan dalam banyak bidang yang dihadapi oleh masyarakat minoriti di negara ini.
Orang Asli akan terus terpinggir daripada mendapat keperluan sepatutnya selagi mereka tidak memperlihatkan 'minat' mereka terhadap peti undi.
Di Sabah dan Sarawak, orang asal kehilangan pemilikan sumber-sumber semula jadi yang perlu dalam kehidupan harian mereka. Tanah dan air adalah lebih penting apabila mereka bangkit menentang kegiatan pembalakan dan syarikat perladangan di tempat mereka.
Mereka mahu diberi peluang menyertai pembangunan ekonomi, mendapatkan pendidikan yang sempurna, penjagaan kesihatan dan hak mengundi. Ini berdasarkan kepada aduan mereka kepada Persatuan Hak Asasi Manusia Malaysia (Hakam).
Masyarakat India di Malaysia masih hidup dalam keadaan yang daif dari segi ekonominya.
Mereka juga tidak mendapat peluang pendidikan, status sosial dan hak asasi mereka tidak dihormati ekoran tindakan merobohkan kuil-kuil Hindu di seluruh negara. Pada 25 November lalu, mereka berhimpun di ibunegara untuk menyuarakan ketidakpuasan mereka hidup terpinggir dan didiskriminasi.
Sampaikan bilakah masyarakat minoriti itu akan terus diabaikan?
Kes Johari, Musa dan Ramli
Pergesesan antara Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharum dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan diekori pula dengan kes membabitkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan, Datuk Ramli Yusuff.
Untuk memendekkan cerita, Mac lalu pihak polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat dakwaan bahawa Johari telah dibayar RM5.5 juta untuk membebaskan seorang ketua kongsi gelap. Bagaimanapun, pada bulan Jun, kes terhadap Johari itu ditutup kerana tiada bukti.
Bagaimanapun, pada bulan Juali, Johari meminta BPR menyiasat dakwaan Musa dibayar RM2 juta untuk membebaskan tiga ketua kongsi gelap. Musa kemudiannya mendakwa, ia adalah usaha untuk memerangkanya, yang dilakukan oleh orang-orangnya sendiri.
Pada hujung bulan, BPR menutup siasatan terhadap Musa kerana tiada bukti, tetapi memulakan siasatan terhadap seorang 'pegawai kanan polis' yang didakwa menyalahguna kuasa dan mengumpulkan harta bernilai RM27 juta secara haram.
Pada 30 Oktober, pegawai kanan tersebut memberitahu satu sidang akhbar bahawa beliaulah yang disiasat berhubung dakwaan tersebut dan menceritakan versinya.
Ramli yang dijadual bersara pada bulan Disember - kemudiannya digantung tugas dan dihadapkan ke mahkamah atas empat tuduhan. Beliau tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.
Pada 14 Disember, Johari dikaitkan pula dengan satu perbicaraan kes rasuah di Johor Bahru membabitkan seorang pengarah syarikat yang mendakwa mengutip sejumlah RM119,000 bagi pihak timbalan menteri berkenaan dan dua orang lagi.
Johari menafikan dakwaan tersebut, tetapi kes itu dijadual mula didengar pada 16 April. Apa lagi selepas ini?
Beginilah kisahnya
Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Zulkifli Mat Noor mempunyai banyak persamaan dalam mengetuai institusi kerajaan yang mereka terajui. Masing-masing terbabit dalam kontroversi berkaitan dengan dakwaan rasuah.
Jika ramai menjangka Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengotai janjinya untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang telus dan bertanggungjawab, realitinya adalah sebaliknya.
Musa dibersihkan oleh BPR daripada dakwaan rasuah dan kontrak perkhidmatannya telah dilanjutkan.
Zulkifli juga dibersihkan oleh pihak polis dari sebarang dakwaan salahlaku dan bersara.
Ahmad Fairuz juga telah bersara - dan perkhidmatannya tidak dilanjutkan - apabila timbul persoalan membabitkan badan kehakiman.
Perdana Menteri tidak banyak mengulas mengenainya. Tindakan undang-undang kemudiannya diambil terhadap 'seteru' Musa dalam pasukan polis - Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan, Datuk Ramli Yusuff berhubung dakwaan rasuah.
Atas desakan pelbagai pihak, Abdullah akhirnya menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja untuk menyiasat kes klip video yang menunjukkan seorang peguam kanan sedang mengatur pelantikan hakim-hakim.
Patutkah dibuat laporan 'gagal tunai janji'?
Mahathir vs Pak Lah - pusingan seterusnya?
Tun Dr Mahathir Mohamad telah menghantar mesej ucapan tahniah kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika melangsung perkahwinannya dengan Jeanne Danker pada 9 Jun. Dan Abdullah pula memeranjatkan banyak pihak apabila secara terbuka mengucap tahniah kepada Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, sempena ulangtahun perkahwinan mereka yang ke-51 pada 5 Ogos.
Ia memeranjatkan ramai orang kerana sebelum ini Dr Mahathir mengecam hebat pentadbiran Abdullah yang didakwanya tidak cekap dalam menangani banyak masalah negara, termasuk dalam bidang ekonomi.
Pada 4 September, Dr Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara untuk menjalani pembedahan pintasan jantung selama enam jam - yang kedua selepas pembedahan pada 1989.
Abdullah adalah antara VIP yang mengunjungi Dr Mahathir tetapi tidak dapat menemui bekas Perdana Menteri itu kerana atas nasihat doktor beliau hanya boleh diziarahi anggota keluarga terdekat di bilik jagaan rapi.
Dr Mahathir pulih kemudiannya tetapi tidak muncul di khalayak ramai. Dr Mahathir dan Abdullah bertemu kemudiannya di Ekspo Maritim dan Angkasa (Lima) - yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri itu.
Dr Mahathir juga tidak mengulas mengenai buku tulisan anak saudaranya yang mengandungi ulasan negatif mengenainya. Apakah Dr Mahathir sudah mahu bersara sepenuhnya...atau sedang mengumpul tenaga untuk melancarkan 'serangan baru'?
NEP: Eposid akan datang
Isu mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) terus menjadi bahan perbahasan.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering mengecam Umno yang didakwanya telah menyalahgunakan DEB untuk mendapatkan sokongan orang Melayu
Malah, Datuk Nazir Abdul Razak turut membuat kenyataan menggesa supaya DEB dikaji semula untuk menjadi Malaysia lebih kompetitif. Kenyataannya nyata tercanggah dengan pendirian abangnya sendiri, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai DEB.
Bagaimanapun, kenyataan Duta Suruhanjaya Eropah ke Malaysia, Thierry Rommel mengenai DEB tidak disenangi oleh kerajaan.
Beliau berkata, dasar perlindungan melalui DEB bukan saja membuat para pelabur tidak berminat menjadikan Malaysia sebagai pangkalan perniagaan mereka, tetapi juga menjadi punca ketidakcekapan dalam sektor awam dan memberi kesan negatif terhadap syarikat-syarikat swasta.
Kerajaan membantah kenyataan yang dibuat oleh Thierry mengenai DEB dan mendakwa beliau tidak locus standi untuk membincangkan isu tersebut.
Bagaimanapun, empat bekas pemimpin - Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa Hitam dan Anwar - dalam wawancara dengan akhbar kewangan The Edge - turut menyuarakan pandangan bahawa DEB patut dikaji semula.
Memandangkan kepimpinan Umno kini mahu mengikis mentaliti subsidi di kalangan orang Melayu, jadi apakah mereka juga bersedia menyahut seruan mengkaji semula DEB?
Semuanya naik!
Nasihat untuk orang ramai. Berhenti menggunakan kad kredit dan elak mengunjungi gedung membeli pada Tahun Tikus 2008. Ini kerana anda memerlukan wang untuk membayar perkara lain seperti petrol, tol, elektrik, gas, pengangkutan awam dan makanan.
Kadar tol dan elektrik telahpun naik awal tahun ini. Manakala harga gas masak, mi segera dan makanan dalam tin turut naik 15 hingga 20 peratus selepas kakitangan kerajaan menikmati kenaikan gaji sehingga 35 peratus dalam bulan July. Malah pisang goreng dan kuih juga naik harga.
Kerajaan telahpun melulus kenaikan 7 hingga 50 peratus tol bagi tujuh lebuhraya mulai 2008. Ia juga mungkin meluluskan cadangan daripada Petronas dan Tenaga Nasional Berhad untuk menyemak lagi kadar gas dan elektrik.
Dengan semuanya naik, maka bersiap sedialah untuk membayarnya selepas menyambut Tahun Baru esok.
PCMC jadi SCC
Selepas 30 bulan menunggu menubuhkan Suruhanjaya Salahlaku dan Aduan Polis (IPCMC), kerajaan akhirnya membentangkan Rang Undang-undang Suruhanjaya Khas Aduan (SCC) yang jauh berbeza dengan IPCMC yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja Polis pada 2005.
Cuma, SCC diberi kuasa untuk menyiasat semua pegawai penguatkuasa kerajaan, dan bukan setakat Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahaja.
Itu sahaja yang baik mengenai rang undang-undang tersebut.
Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang menyifatkan SCC sebagai "IPCMC palsu" kerana bidangkuasanya yang terhad dan tidak boleh menjalankan siasatan.
Ternyata beberapa anggota Suruhanjaya Diraja Polis itu turut kecewa dengan apa yang berlaku.
Persoalannya ialah mengapa kerajaan, sehingga November tahun ini, membuat orang ramai mempercayai bahawa IPCMC akan ditubuhkan.
Rang undang-undang SCC, melepasi bacaan pertama di Parlimen pada 13 Disember, tetapi ditarik balik sebelum bacaan kedua yang dijadual pada 18 Disember.
Rang undang-undang itu tidak dibatalkan, tetapi ditangguhkan untuk memberi masa kepada semua pihak menelitinya secara mendalam, sebelum dibentangkan di sidang Parlimen akan datang Mac depan.
Mampukah SCC untuk menangani masalah rasuah dan salahguna kuasa dalam pasukan polis? Sama-sama kita tunggu...

