Paling Popular
Terkini
1

Dr Akmal Salleh didakwa menyatakan hasratnya untuk melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pemuda Umno Malaysia dan Adun Merlimau di Melaka.

Menurut sumber yang rapat dengan Umno, Akmal memaklumkan perkara itu kepada sekumpulan pemimpin Pemuda Umno menerusi mesej WhatsApp semalam. Dia ketika itu masih berada di Shanghai, China.

“Apabila orang Melayu telah bersuara, dan parti telah membuat keputusan.

“Sebagai orang yang terlalu sayangkan parti ini, aku akur dengan keputusan parti, tetapi apalah makna pemimpin jika kita tidak menghormati suara mereka?

“Maka dengan penuh rendah diri aku rasakan bahawa aku perlu ambil tanggungjawab keseluruhan untuk parti yang kita sayangi ini.

“Maka insya-Allah, selepas aku balik dari Shanghai ini aku akan meletakkan semua jawatan dalam parti dan juga jawatan saya sebagai wakil rakyat,” katanya dalam grup WhatsApp itu.

Dalam mesej itu, Akmal turut mengucapkan terima kasih kepada semua ahli dan pemimpin Pemuda Umno sambil merujuk kepada usahanya mendesak parti supaya keluar dari kerajaan – yang kemudiannya ditolak oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Aku mengambil tanggungjawab atas segala yang terjadi.

“Suara rakyat di bawah telah kita suarakan dan bawa ke peringkat tertinggi parti dengan satu tujuan iaitu untuk pastikan Umno berada di hati setiap orang Melayu.

“Tapi kita tidak berjaya. Ini bukan salah sesiapa, tetapi aku ambil ini sebagai salah dan kelemahan diri aku sendiri,” katanya.

Sedang ditunggu di KLIA

Sabtu lalu, Akmal yang mempengerusikan Konvensyen Khas Pemuda Umno menggerakkan ahli untuk menyokong gesaannya supaya Umno bergabung dengan PAS di blok pembangkang.

Difahamkan perkara itu turut dibentangkan dalam mesyuarat Biro Politik Umno pada Isnin.

Susulan penolakan Ahmad Zahid kepada gesaan tersebut, Akmal memuat naik mesej bersifat sindiran mengenai “berundur”. Ia kemudian mengundang cabaran daripada pemimpin PH supaya dia benar-benar meletakkan jawatan.

Menurut satu lagi sumber, pada akhir konvensyen tersebut, Akmal meminta senarai Pemuda Umno bahagian di seluruh negara yang menyokong gesaannya untuk meninggalkan kerajaan.

“Daripada 190 bahagian Umno, hanya 51 membeirkan sokongan,” dakwa sumber itu sambil mendedahkan tangkap layar daripada kumpulan WhatsApp ketua-ketua Pemuda Umno bahagian.

Tangkap layar itu menunjukkan semua 14 Pemuda Umno bahagian di Kelantan dan memberikan sokongan kepada Akmal, namun di Melaka sendiri, empat daripada enam ketua Pemuda Umno bahagian yang memilih pendirian sama.

Malaysiakini difahamkan Akmal dijadual pulang petang ini, dan sekumpulan pemimpin Pemuda Umno dipercayai sedang menunggu ketibaannya di KLIA.

Sementara itu Setiausaha Pemuda Umno Malaysia, Hafiz Ariffin, memberitahu Malaysiakini bahawa Akmal tidak meletakkan jawatannya seperti yang didakwa dalam laporan media.

"Itu tidak benar," katanya ketika dihubungi untuk mendapatkan maklum balas.

Hafiz sekali lagi menjelaskan mengenai khabar angin tersebut melalui hantaran di media sosial. Dia juga memberitahu Pemuda Umno sedang bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya kecil kecil bagi kerusi DUN Lamang dan Parlimen Kinabatangan.

“Berita apa? Ada banyak kerja nak kena selesai ni. Let’s go Kinabatangan & Lamag! Lawan!” tulisnya.

Dalam perkembangan sama, Adun Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem, turut berkongsi maklumat bahawa Akmal sedang meneruskan tugas harian dan partinya.

“Semuanya baik-baik saja. Dr Akmal Saleh dah mula masuk kerja 1.15 tengahari tadi,” tulisnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS