Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kalendar persekolahan kembali ke bulan Januari
Diterbitkan:  Jan 12, 2026 12:31 PM
Dikemaskini: 4:54 AM

Sekolah-sekolah Kumpulan B membuka sesi persekolahan bagi tahun akademik 2026 hari ini, menandakan penyelarasan semula kalendar pendidikan negara ke bulan Januari selepas beberapa tahun bermula lewat susulan penjajaran jadual akibat pandemik Covid-19 sejak 2020.

Kumpulan B melibatkan sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sekolah Kumpulan A di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang melibatkan hampir sejuta murid dan pelajar telah memulakan sesi persekolahan semalam.

Pelaksanaan semula jadual persekolahan pada awal tahun ini bertujuan menyelaraskan kembali kalendar pendidikan negara seperti sebelum ini, selain memberi tempoh pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara lebih teratur sepanjang tahun.

Selain itu, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 diteruskan tahun ini dengan agihan kepada 5.2 juta pelajar sekolah rendah dan menengah dijangka diselesaikan selewat-lewatnya pada hujung minggu ini.

Di PUTRAJAYA, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan (KPM) Datuk Ahmad Suhaimi Endut berkata seramai 41,683 pelajar memulakan hari pertama persekolahan di semua sekolah rendah dan menengah.

“Putrajaya juga mencatatkan pembukaan sekolah baharu iaitu Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 15(1),” katanya kepada pemberita selepas menyantuni pelajar SMK Putrajaya Presint 18 (1).

Di PERAK, Pengarah Pendidikan Negeri Zulkafli Mohamed Mokhtar berkata seramai 348,594 pelajar daripada 1,105 sekolah memulakan sesi persekolahan hari ini membabitkan 162,759 pelajar sekolah menengah dan 185,835 murid sekolah rendah di seluruh negeri.

“Jumlah itu termasuk 30,456 pelajar Tingkatan Satu, murid Tahun Satu seramai 29,172 serta murid prasekolah seramai 16,282,” katanya kepada pemberita selepas Program First Day At School di Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Perempuan Muzwin di Kuala Kangsar.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Ipoh mendapati kehadiran murid SK Tasik Damai telah disambut oleh maskot yang disediakan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan sebagai inisiatif untuk menceriakan suasana hari pertama persekolahan.

Di PULAU PINANG, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata seramai 19,705 murid Tahun Satu memulakan sesi persekolahan, dan jumlah itu dilihat berkurangan berbanding tahun lepas yang merekodkan 20,197 orang.

Bercakap kepada pemberita selepas meninjau SK Tan Sri Awang Had Salleh di Balik Pulau, beliau berkata BAP, yang keseluruhannya berjumlah RM34.12 juta, akan diserah kepada ibu bapa pada minggu ini membabitkan 230,000 pelajar.

Di JOHOR, Ketua Setiausaha KPM Datuk Dr Aminudin Hassim berkata seramai 615,120 pelajar sekolah rendah dan menengah memulakan sesi persekolahan termasuk 23,740 murid prasekolah, 55,406 murid Tahun Satu dan 47,237 pelajar Tingkatan Satu.

“Fokus utama kita di KPM adalah untuk mengatasi isu buli dalam kalangan pelajar dengan mengadakan beberapa program menerusi kerjasama pelbagai agensi,” katanya ketika ditemui pada Program Welcome Back To School 2026 di SK Dato’ Onn Jaafar, Simpang Renggam di sini.

Pengarah Jabatan Pendidikan NEGERI SEMBILAN Khalidah Omar pula berkata sejumlah 17,455 murid Tahun Satu telah berdaftar bagi sesi persekolahan tahun ini dan daripada jumlah itu, seramai 8,059 adalah pelajar prasekolah di 241 sekolah di seluruh negeri itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS