Bekas pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kua aLumpur atas pertuduhan menyalahgunakan wang derma bantuan misi kemanusiaan berjumlah RM207,000, tujuh tahun lepas.
Mohd Hakim Mohd Nor, 39, didakwa secara tidak jujur telah menyalahgunakan harta milik Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, iaitu wang derma bantuan misi kemanusiaan dengan kerjasama NGO di Myanmar, Yaman, Syria dan Palestin, di sebuah bank di Jalan Sultan Hishamuddin di sini pada 27 Dis 2019.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan maksimum lima tahun dan dengan sebatan atau denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Asmaa' Zamri menawarkan jaminan RM50,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat agensi antirasuah berhampiran pada setiap awal bulan, dokumen perjalanan diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam Azzizul Shariman Mat Yusoff yang mewakili Mohd Hakim memohon jaminan RM10,000 kerana anak guamnya perlu menanggung tiga anak yang masih bersekolah, bapa serta ibunya yang mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis selain isterinya bekerja sendiri dengan pendapatan RM1,500 sebulan.
Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan yang dimohon oleh pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 11 Mac ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.
- Bernama
