Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tersingkir dari Piala FA, MU tetap ada peluang julang piala

ULASAN SUKAN | Biasanya jika kita berbicara tentang Manchester United, apa yang terbayang ialah sebuah pasukan hebat yang menguasai Liga Perdana Inggeris dan juga Eropah. Tetapi nampaknya semua sudah tinggal kenangan.

Sekarang ini mungkin jika ada yang cuba mengorat makwe dengan memakai baju MU, belum sempat memperkenalkan diri, si gadis sudah angkat kaki.

Sebab apa? Sebab belum lagi berakhir Jan 2026, penyokong dan pengagum kelab itu sudah menangis di bucu katil!

Mereka terpaksa menelan realiti pahit bawah The Red Devils tidak akan memenangi apa-apa piala pada musim ini.

Dan realiti itu diketahui mereka ketika Jan belum pun sampai ke pertengahan bulan!

Pun begitu, MU masih ada peluang juga. Dalam keadaan sekarang, peluang mereka akan hadir selepas musim EPL 25/26 pada Mei nanti. Ketika itu biasanya MU akan mengadakan siri perlawanan pramusim jelajah Asia, Amerika atau Afrika.

Musim ini MU tersingkir awal dari Piala Carabao, terkeluar di pusingan ketiga Piala FA dan sedang bergelut di tangga ke tujuh EPL.

Justeru impian MU mahu menjulang kejuaraan EPL boleh dianggap sebagai misi mustahil. Mereka juga dipisahkan 17 mata di belakang pendahulu liga, Arsenal.

Memang perlawanan bagi musim semasa masih banyak iaitu sekitar 17 lagi. Cuma semua kelab yang berada di atas MU itu bukanlah batu atau tunggul kayu yang tidak bergerak-gerak.

Harapan buat Villa

Sudah pasti mereka lebih bersemangat mencari kemenangan demi kemenangan.

Chelsea, misalnya, yang satu mata di belakang MU pun sudah tentu tidak sabar mahu memintas untuk melayakkan diri agar dapat bersaing di Eropah.

Pada masa sama Chelsea juga masih terbabit dengan pertandingan di Eropah dan masih bernyawa dalam saingan Piala FA dan Piala Carabao.

Cabaran terkini yang perlu dihadapi MU ialah Manchester City di Old Trafford pada 17 Jan. Bolehkah MU mengalahkan City yang kini menduduki tempat kedua liga dengan 43 mata, berjarah enam mata dengan Arsenal.

City tentulah bermain bermati-matian untuk merapatkan jurang dengan The Gunners yang dijadual melayan Nottingham Forest selepas itu.

Jika MU menang dan Arsenal tiba-tiba ada mood membotol maka ia memberi harapan kepada Aston Villa – pasukan di tangga ketiga liga dengan 43 mata tetapi memiliki kekurangan jaringan gol berbanding City.

Kemungkinan besar Arsenal tidak akan kecundang tetapi perlu diingat, mereka berdepan Forest di tempat lawan. Forest pula tentu bermati-matian di atas padang untuk menyelamatkan diri daripada tergelincir ke liga bawahan.

Pemain MU, Benjamin Sesko, nampaknya mula menunjukkan taring sebenarnya.

Semasa bertemu Burnley pada 8 Jan lalu dia menjaringkan dua gol dan terselamatkan MU dari kesipuan apabila mereka berjaya seri 2-2.

Sama lepas Onana tiada

Ketika kecundang di tangan Brighton dalam perlawanan pusingan ketiga Piala FA, Sesko juga yang menjaringkan gol. Tetapi mereka terpaksa akur dengan keputusan 1-2.

Dari segi serangan MU menampakkan sudah ada kemajuan. Sesko mula menunjukkan bisanya di depan gawang.

Barangkali ini petanda pemain tengah dan sayap MU sudah tahu bola yang bagaimana diinginkan Sesko.

Pertahanan MU pula menjadi isu sekarang. Tidak berapa lama dulu orang mengutuk Andre Onana sehingga mengabaikan kualiti barisan pertahanan MU yang lemah.

Ia terbukti dengan apa yang berlaku selepas Onana diketepikan. Pengganti Onana, Senne Lammens, juga jenuh mengutip bola di dalam gawang sendiri. Selepas 10 perlawanan Lammens sudah dibolosi 15 kali.

Ia adalah jumlah yang sama buat 10 perlawanan pertama Onana bersama MU.

Apa pun kita tunggu perlawanan MU - City pada Sabtu nanti. Buat masa ini di atas kertas boleh dikatakan MU akan pulang dengan tangan kosong dan peminat bakal menangis di bucu katil sekali lagi.


SHAHRAY ZULKIFLI ialah bekas peguam yang pernah bertugas sebagai peguam syarie di Brunei Darussalam sebelum bersara pada hujung 2023. Dia kini menjadi penulis dan penceramah bebas dalam bidang undang-undang keluarga Islam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS