Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid beri ‘nasihat terbaik’, Akmal umum pendirian esok
Diterbitkan:  Jan 13, 2026 5:21 PM
Dikemaskini: 9:40 AM

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh dijangka mengumumkan pendiriannya berhubung kedudukan dalam parti itu dan kerajaan esok, selepas bertemu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Ahmad Zahid berkata pertemuan dengan ketua sayap Pemuda itu berlangsung petang tadi, sebelum dia menghadiri Majlis Konvokesyen Kedua Sekolah Patriotik Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

“Saya sudah bertemu dengannya dan telah memberikan nasihat terbaik. Beliau akan mengumumkan hasil pertemuan itu esok,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Sementara itu, Akmal dalam satu hantaran di media sosial, berkata dia telah meluahkan isi hati dan hasratnya.

“Terima kasih Dato’ Seri Zahid Hamidi atas nasihat dan kesudian mendengar.

“Insya-Allah moga ini yang terbaik untuk perjuangan agama, bangsa, tanah air dan Umno,” katanya tanpa menghurai lanjut.

Terdahulu, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa dia akan mengumumkan penubuhan sebuah organisasi di luar lingkungan politik pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno (PAU), Sabtu ini.

Katanya penubuhan organisasi berkenaan adalah cadangan dirinya sendiri dan telah mendapat persetujuan jemaah menteri.

Sebelum ini timbul pelbagai spekulasi berhubung masa depan politik pemimpin muda dalam Umno dan kerajaan negeri Melaka itu.

Semalam, Akmal dilaporkan berkata dia akan akur dengan sebarang keputusan yang dibuat Ahmad Zahid serta Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh, termasuk berkaitan jawatan yang sedang disandangnya.

Akmal kini merupakan Adun Merlimau dan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.

Sebelum ini, media melaporkan Akmal memberi bayangan untuk berundur daripada dua jawatan tersebut susulan gesaannya agar Umno menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan, yang menerima reaksi kurang senang daripada kepimpinan tertinggi parti termasuk Ahmad Zahid.

Sementara itu, dalam ucapannya semasa majlis konvokesyen itu, Ahmad Zahid turut menekankan kepentingan disiplin, perancangan dan kesinambungan kepimpinan dalam perjuangan parti.

Dia berkata Sekolah Patriotik Umno bukan sekadar sebuah institusi latihan politik, sebaliknya wadah pembinaan pemikiran, watak dan jiwa perjuangan generasi pelapis.

“Perjuangan tidak boleh bersifat reaktif. Ia mesti dirancang, dididik dan diwariskan secara teratur,” katanya, sambil menyifatkan institusi itu sebagai tapak awal pembentukan pemimpin yang bakal menentukan hala tuju parti dan masa depan negara.

Majlis itu turut dihadiri pimpinan tertinggi Umno termasuk Timbalan Presiden Mohamad Hasan, Naib Presiden Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Wanita Dr Noraini Ahmad.

Konvokesyen kali kedua Sekolah Patriotik Umno itu meraikan 110 graduan daripada dua kumpulan, sebagai sebahagian usaha parti memperkukuh barisan kepimpinan muda sejak penubuhannya pada Januari 2025.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS