PAU 2025 | Bilangan penyokong tegar Umno kini telah merosot secara drastik akibat beralih kepada parti lain, kata Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.
Oleh itu katanya, Umno perlu berubah dan tidak boleh menggunakan pendekatan lama dalam mendepani cabaran tersebut.
"Penyokong tegar kita telah menyusut dengan drastik. Dua sebab utama ialah, mereka beralih menyokong parti politik lain, dan kedua, kerana kemunculan besar generasi baru yang tidak mempunyai apa-apa keterhubungan dengan Umno.
"Jadi, untuk berhadapan dengan mereka ini, kita tidak boleh terus menerus menggunakan cara lama, mentaliti lama, dan andaian lama," katanya.
Dia berkata demikian ketika berucap pada perasmian serentak persidangan tiga sayap Umno Wanita, Pemuda dan Puteri di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur malam ini.
Hadir sama Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh dan Ketua Puteri Umno, Nurul Amal Fauzi.
Menurut Mohamad lagi ideologi nasionalisme Melayu bukan lagi mantera ampuh bagi menagih sokongan.
Katanya, Umno perlu mendepani Isu seperti keadilan, kualiti hidup, persaraan yang bermaruah, serta banyak lagi trend yang bukan berkisar tentang Melayu Islam.
"Ideologi nasionalisme Melayu tidak lagi memadai untuk kita menagih sokongan. Ia adalah mantera lama yang tidak lagi mencukupi untuk kita menang.
"Pengundi Melayu Islam memerlukan lebih dari politik identiti untuk memberi sokongan kepada Umno," katanya lagi.
Sementara itu, Mohamad berkata kegagalan Umno memahami persekitaran yang berubah deras menyebabkan parti itu ditolak di Sabah pada pilihan raya negeri (PRN) yang lalu.
Katanya, Umno terlalu terbawa dengan isu nasional tanpa lantang mengetengahkan agenda tuntas untuk Sabah.
"Gagal membaca persekitaran yang berubah deras. Sebab itu kita dihukum rakyat Sabah," katanya.
