PAU 2025 | Ahmad Zahid Hamidi berkata dia akan bertemu Dr Akmal Saleh bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai langkah seterusnya dalam politik.
Antara yang akan ditanyakan nanti, katanya, ialah siapa pihak yang mahu “diserang” susulan kenyataan lantang Ketua Pemuda Umno selepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai exco Melaka.
“Saya ingin tahu, saya akan jumpa beliau, beliau nak serang siapa dalam perkara ini?” kata Presiden Umno itu ketika ditanya sama ada pendirian dinyatakan Akmal hari ini menjejaskan kerjasama semasa Umno.
Ahmad Zahid berkata demikian selepas menghadiri perjumpaan khas bersama perwakilan pelajar dari Kelab Umno Luar Negara dan majlis pelancaran logo baru Kelab Umno Luar Negara di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Pagi tadi Akmal yang juga Adun Merlimau mengumumkan peletakan jawatannya sebagai exco kerajaan negeri, namun kekal sebagai ketua Pemuda Umno Malaysia.
Tegas Akmal lagi, keputusan tersebut diambil bagi membolehkan dia memberi tumpuan kepada perjuangan "menentang DAP" yang disifatkannya sebagai musuh yang nyata.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, peletakan jawatan Akmal sebagai exco adalah keputusan peribadi, dan dia menghormati pendirian tersebut selepas perkara itu dibincangkan bersama Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh.
Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, keputusan tersebut mungkin memberi ruang dan masa kepada Akmal untuk menggerakkan Pemuda Umno di peringkat akar umbi, khususnya di 191 bahagian di seluruh negara.
“Mungkin dengan itu beliau mempunyai masa dan ruang yang cukup untuk turun ke akar umbi, terutama ke bahagian-bahagian dan itu peluang untuk menggerakkan jentera Pemuda,” katanya.

Ditanya jika tindakan Akmal akibat emosional, Ahmad Zahid berkata perkara itu adalah hak peribadi ketua Pemuda Umno terbabit dan yakin dia tahu apa yang dilakukannya.
Timbalan Perdana Menteri itu juga menjelaskan keputusan Akmal dibuat atas pertimbangannya sendiri, bukan dalam mesyuarat pimpinan parti.
Selain itu Ahmad Zahid tidak beranggapan peletakan jawatan seorang exco kerajaan akan memberi tekanan kepada Umno.
"Datuk Seri Rauf tahu apa yang beliau akan lakukan selepas ini,” katanya.
Mengulas kenyataan Akmal yang menggesa supaya “melupakan luka lama” berkaitan kerjasama Muafakat Nasional (MN), Zahid berkata ia hanyalah pandangan peribadi dan bukan keputusan rasmi parti.
"Keputusan muktamad adalah tetap daripada kepimpinan atasan Umno, khususnya majlis tertinggi,” katanya.
Laporan oleh Shakira Buang, Haspaizi Zain, dan Alyaa Alhadjri
