Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Dengan DAP boleh berkawan, takkan dengan saudara seagama tak boleh?’

PAU 2025 | Bagi menjayakan agenda penyatuan Melayu dan Islam, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menggesa pucuk pimpinan parti agar melupakan sengketa lama dengan PAS.

Berucap pada persidangan sayap itu, Akmal berkata penyatuan Melayu dan Islam harus dimulakan oleh dua parti terbesar itu.

“DAP dulu mereka bantai kita dan sampai sekarang masih kritik, tetapi kita boleh bekerjasama.

“Takkanlah dengan saudara sesama Islam kita tak boleh bekerjasama? Takkan kita tak boleh maafkan? Letakkan ego ke tepi," katanya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ni.

Dia berkata Pemuda Umno sedia menerajui langkah bagi menggerakkan kerjasama itu.

Adun Merlimau itu membangkitkan kisah Nabi Muhammad yang menyatukan puak Aus dan Khazraj di Madinah yang sering berseteru sebelum penghijrahan baginda dari Mekah.

Pada Konvensyen Khas Pemuda Umno 3 Jan lalu, Akmal telah menyeru agar Umno menarik diri daripada kerajaan perpaduan, atas alasan beberapa “garis merah” yang ditetapkan parti itu telah dilanggar oleh pemimpin parti sekutu.

Malah, Dr Akmal menyeru Umno dan PAS bagi menghidupkan kembali Muafakat Nasional.

Bagaimanapun pada 6 Jan lalu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan BN akan terus kekal dalam kerajaan perpaduan dengan PH sehingga tamat penggal kali ini.

Sementara itu Akmal mengakui usaha penyatuan Melayu bukan perkara mudah, namun ia pasti tidak akan berjaya jika tiada usaha digerakkan.

"Penyatuan yang akan menyelamatkan bangsa...bangsa yang bepecah akan mudah  ditundukkan walaupun besar jumlahnya.

"Atas dasar rasional itu saya ingin menggagaskan tekad ummah dengan penyatuan dua parti terbesar ini iaitu Umno dan PAS," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS