PAU 2025 | Setiausaha Puteri Umno Negeri Sabah Laiji Ompogoh mengingatkan kepimpinan parti agar tidak menjadikan kekalahan calon sayap pergerakan itu pada pilihan raya negeri (PRN) lalu sebagai alasan untuk menutup ruang dan peluang kepada mereka.
Tegas Laiji yang juga ketua Puteri Umno bahagian Pensiangan, kekalahan di Sabah juga tidak wajar dijadikan kayu ukur mutlak untuk menilai keupayaan sayap Umno itu.
Apatah lagi, kata Laiji, menafikan peluang kepada calon wanita muda di negeri-negeri lain.
“Setiap pengalaman menang dan kalah adalah proses membina pelapis dan menguatkan parti. Macam saya di Sabah, sudah kalah jangan pula dikasi pukul rata, tidak bagi peluang kepada puteri lain untuk menjadi calon (pilihan raya).
“Jangan disebabkan keputusan ini di negeri lain tidak diberi peluang,” katanya ketika berucap membahaskan ucapan dasar ketua Puteri sempena Perhimpunan Agung Umno 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Dalam pilihan raya umum lalu, BN hanya menang enam daripada keseluruhan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (Adun), walaupun bertanding di 45 kerusi.
Laiji sendiri kalah di kerusi Nabawan dalam pertandingan sembilan penjuru.
Landskap berubah
Sementara itu, Laiji menegaskan bahawa Umno tidak boleh terus bergerak dengan pendekatan lama dalam landskap politik yang sudah banyak berubah, sebaliknya perlu berani melakukan pembaharuan agar tidak terus ketinggalan dan ditinggalkan rakyat.
“Jika kita gagal berubah, kita bukan sahaja akan ketinggalan malah berisiko ditinggalkan,” katanya.
Mengimbas pengalamannya sebagai calon wanita muda, Laiji mengakui dia tidak pernah terfikir untuk menjadi calon apatah lagi bersedia untuk bertanding, malah pada awalnya merasakan dirinya tidak layak dan terlalu kerdil untuk diangkat.
Bagaimanapun, katanya, setiap ketentuan berlaku pada waktu yang tepat dan Tuhan lebih mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya.
Walaupun keputusan pilihan raya tidak memihak kepadanya, Laiji menyifatkan kekalahan tersebut sebagai satu kemenangan yang tertunda dan sebahagian daripada proses pembelajaran dalam politik.
Laiji turut menegaskan bahawa menjadi calon tunggal sayap Puteri Umno pada PRN Sabah bukanlah satu hadiah, sebaliknya amanah besar yang memperlihatkan keupayaan Puteri memikul tanggungjawab jika diberikan kepercayaan.
“Keupayaan Puteri tidak boleh dinilai berdasarkan satu atau dua keputusan pilihan raya. Setiap pengalaman menang dan kalah adalah proses membina pelapis dan menguatkan parti,” katanya.
Laiji turut menekankan bahawa suara wanita muda hari ini bukan lagi sekadar pelengkap, sebaliknya satu keperluan dalam kepimpinan parti kerana golongan itu memahami denyut nadi masyarakat serta realiti tekanan hidup generasi masa depan.
“Jangan tunggu kita cukup sempurna untuk menjadi calon. Kepimpinan bukan tentang kesempurnaan, tetapi keberanian untuk belajar, berkhidmat dan bersuara,” katanya.
Tambahnya, Laiji turut menyeru wanita muda supaya bangkit dan tampil memimpin sebagai suara perubahan demi membina masa depan yang lebih adil dan inklusif.
