Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hannah: Padang Merbok kembali milik rakyat, DBKL tanggal pagar
Diterbitkan:  Jan 16, 2026 5:07 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

Pihak berkuasa telah menanggalkan pagar besi yang mengelilingi Padang Merbok di Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan yang baru dilantik, Hannah Yeoh menyifatkan langkah itu sebagai “mengembalikan Padang Merbuk kepada pemilik sebenar iaitu rakyat."

Langkah tersebut diambil lebih tiga tahun selepas pagar itu dipasang oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika kerajaan berada di bawah kepimpinan Perikatan Nasional.

Yeoh berkata tindakan itu membuktikan komitmen kerajaan Madani untuk “membetulkan perkara tidak wajar” dan ia bermula dengan membebaskan Padang Merbok.

"Bila kita ada padang awam seperti ini dan ada pagar ia menyusahkan rakyat untuk keluar masuk. Dan Padang Merbuk ini merupakan sebahagian daripada kehidupan Kuala Lumpur. Kita ada Dataran Merdeka dengan Padang Merbok.

"Apa yang kita nak juga untuk sidang parlimen yang akan datang, padang bila dah tak ada pagar, sesuai kalau ada sesiapa yang nak berkumpul untuk memberikan memo kepada wakil wakil rakyat. Sekarang ini semua atas jalan raya, dekat corner, dekat tepi jalan sana.

"Saya lihat sangat bahaya kerana trafik berjalan dengan cepat dan menyusahkan pegawai-pegawai parlimen, pegawai-pegawai polis yang kena menjaga di atas jalan raya,” katanya kepada pemberita ketika melawat padang itu pagi ini.

Yeoh hadir ke Padang Merbok bersama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, yang juga ahli parlimen Lembah Pantai, serta Datuk Bandar Kuala Lumpur Fadlun Mak Ujud bagi meninjau kerja-kerja penanggalan pagar yang bermula dua hari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu berkata padang berkenaan juga akan dinaik taraf untuk tujuan rekreasi yang boleh dinikmati orang ramai.

Antara perancangannya termasuk pemasangan skrin besar supaya keluarga boleh meluangkan masa di Padang Merbok pada waktu malam untuk menonton filem, yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Pada Ogos 2023, Yeoh dan Fahmi (gambar bawah) pernah mengadakan sidang media di lokasi sama bagi membantah keputusan kerajaan pimpinan PN ketika itu untuk mendirikan pagar besi di sekitar padang tersebut, yang sering digunakan sebagai lokasi perhimpunan oleh para penunjuk perasaan.

Mereka mempersoalkan jika langkah itu merupakan reaksi terburu-buru kerajaan terhadap bantahan menuntut kebebasan kehakiman Walk for Judicial Independence anjuran Majlis Peguam Malaysia dua bulan sebelum itu, dengan para peguam memulakan perarakan dari Padang Merbok ke Parlimen.

Bagaimanapun, Datuk Bandar Kuala Lumpur ketika itu, Mahadi Che Ngah, mendakwa pemasangan pagar tersebut hanyalah sebahagian daripada kaedah penyelenggaraan bagi memastikan padang itu sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

Dia berkata orang awam masih dibenarkan menggunakan Padang Merbok dengan kebenaran berjadual, dan pendekatan sama turut dilaksanakan di beberapa kawasan lain bagi tujuan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS