Seorang perwakilan Umno hari ini mendakwa parti mereka tidak boleh hilang kuasa kerana banyak masalah yang akan timbul dalam negara termasuk kehilangan beras putih tempatan.
Perwakilan Kedah, Noran Zamini Jamaluddin berkata apabila Umno hilang kuasa rakyat yang berdepan dengan pelbagai masalah.
"Bila Umno hilang kuasa beras tempatan pun hilang di pasaran.
"Tuan-tuan perasan tak? Tak ada beras tempatan. Beras tempatan 10 kilogram dulu RM20 ringgit, hari ini RM42 ringgit, hak (yang) lima kilo dulu RM13 sekarang RM26.
"Tuan-tuan itulah natijah bila Umno kalah, Umno hilang kuasa, beras pun hilang," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2025.
Noran juga menggesa agar bantuan MyKasih disalurkan terus ke akaun bank pengguna supaya ia dapat dimanfaatkan oleh peniaga kecil lain dan tidak hanya kepada perniagaan tertentu.
Dia juga meminta supaya kerajaan memasukan bantuan sebanyak RM1,200 secara terus dan bukannya RM100 sebulan.

"Toksahlah kita bagi macam tu, bubuh direct (terus) dalam akaun dia, ikut suka Mak Long nak beli apa, orang jual bahulu Pekan Rabu pun boleh Mak Long hak jual pekasam di market pun boleh rasa.
"Dan kalau boleh tak payah masuk RM100 sebulan tapi sedas RM1,200 macam (pentadbiran bekas perdana menteri) Datuk Seri Najib (Razak) dulu dalam akaun RM1,200 barulah berani nak heret anak dia tiga orang beli kasut," katanya.
Sementara itu, Noran berkata manifesto BN pada pilihan raya umum ke-16 perlu merangkumi janji mengembalikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
"Manifesto PRU-16 kembalikan GST kembali BR1M. GST daripada kutipan cukai RM18 bilion boleh sampai RM50 bilion buatlah balik," tambahnya.
