Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Makin ramai negara sekat akses media sosial pada kanak-kanak

Sekatan akses media sosial terhadap kanak-kanak kini semakin meluas ke seluruh dunia selepas Australia mengambil langkah melarang pengguna di bawah usia 16 tahun pada tahun lalu kerana kesan negatif platform itu terhadap golongan muda.

Menurut Anadolu Ajansi, Australia meluluskan undang-undang yang melarang akses kepada platform media sosial bagi pengguna di bawah umur 16 tahun, yang berkuat kuasa pada 10 Dis lepas.

Syarikat induk Facebook iaitu Meta menyatakan bahawa sebanyak 550,000 akaun telah dinyahaktifkan selepas perubahan itu, termasuk 330,000 di Instagram, 173,000 di Facebook dan 39,000 lagi di Threads.

Kira-kira 10 platform tertakluk kepada sekatan itu, termasuk X, Instagram, Facebook, TikTok, YouTube, Snapchat, Reddit, Twitch, Threads dan Kick.

Eropah ikut jejak Australia

Beberapa negara Eropah sejak itu mula mengambil langkah untuk melaksanakan tindakan serupa.

Denmark menandatangani resolusi pada 7 Nov lepas yang melarang pengguna bawah 15 tahun daripada mengakses platform media sosial.

Sepanyol meluluskan rang undang-undang pada Jun 2024 untuk menaikkan umur sah bagi persetujuan perlindungan data daripada 14 kepada 16 tahun, manakala Perancis dan Norway sudah mula mengenakan had yang dikaitkan dengan tahap kematangan digital.

AS, Turkiye, China pilih pendekatan berbeza

Di Amerika Syarikat (AS), sistem persekutuan menyebabkan persekitaran kawal selia yang "berpecah" bagi pengesahan umur dan kebenaran ibu bapa. Beberapa negeri, termasuk Florida sedang mempertimbangkan larangan ke atas platform tertentu, manakala usaha perundangan masih berjalan di negeri-negeri lain.

Di Turkiye, Perhimpunan Agung Kebangsaan sedang membincangkan kemungkinan untuk melarang penggunaan media sosial oleh kanak-kanak bawah 15 tahun, menurut Anadolu Ajansi.

Menteri Perkhidmatan Keluarga dan Sosial Mahinur Ozdemir Goktas berkata penyedia rangkaian sosial akan dikehendaki menyekat akses bagi pengguna bawah umur berkenaan.

Satu draf rang undang-undang mengenai peraturan media sosial untuk kanak-kanak bawah 15 tahun dijangka diserahkan kepada jawatankuasa Parlimen berkaitan menjelang akhir Januari.

China pula mengikut model berbeza dengan mengekalkan satu daripada sistem kawalan digital paling ketat di dunia.

Kanak-kanak bawah 18 tahun tertakluk kepada sekatan penggunaan aplikasi data mudah alih, termasuk had akses kepada aplikasi tertentu pada waktu khusus selain hanya dibenarkan melihat kandungan yang diluluskan Pentadbiran Ruang Siber China sebagai menyokong perkembangan fizikal dan mental.

Pengguna berumur 16 hingga 17 tahun dibenarkan menggunakan aplikasi sehingga dua jam sehari, mereka berumur lapan hingga 15 tahun dibenarkan selama satu jam, manakala kanak-kanak bawah lapan tahun hanya 40 minit.

Versi TikTok di China, Douyin mengaktifkan mod kanak-kanak untuk pengguna bawah 14 tahun, yang mengutamakan kandungan pendidikan seperti eksperimen sains dan pameran muzium.

Kebanyakan platform media sosial utama yang berpangkalan di AS dilarang di China.

- Bernama-Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS