Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PKR P Pinang bantah cadangan tukar nama Jalan Pantai Bersih
Diterbitkan:  Jan 17, 2026 3:38 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Pemuda PKR (AMK) Pulau Pinang membantah cadangan menukar nama Jalan Pantai Bersih kepada ‘Dragon Temple Lane’ seperti yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.

Ketuanya Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berkata bahawa nama sedia ada telah sebati dengan penduduk setempat dan merupakan sebahagian daripada identiti serta memori kolektif sejarah kawasan berkenaan.

"Sebarang usaha menukar nama jalan yang telah lama digunakan tanpa alasan mendesak hanya akan mengundang kekeliruan dan ketidakselesaan dalam kalangan awam.

"Nama Jalan Pantai Bersih telah mencerminkan identiti kawasan, sejarah dan memori kolektif masyarakat yang telah lama mendiami kawasan tersebut,

"Tindakan tersebut juga disifatkan sebagai tidak inklusif dan tidak munasabah dalam konteks keperluan semasa rakyat di negeri itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Zakwan berkata keutamaan pemimpin seharusnya tertumpu kepada isu yang lebih mendesak seperti kos sara hidup, isu perumahan dan kebajikan rakyat berbanding perubahan nama jalan yang bersifat simbolik.

"Pemuda PKR Pulau Pinang akan terus konsisten mempertahankan kepentingan rakyat dan menolak tindakan yang dianggap tidak memberi nilai tambah atau manfaat sebenar kepada masyarakat setempat," katanya.

Dia turut meminta Ketua Menteri, Chow Kon Yeow agar tidak mempertimbangkan cadangan tersebut demi memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum di Pulau Pinang.

Sebelum ini, Lim yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang bercadang untuk menamakan semula laluan di kawasan tersebut bagi mencerminkan mercu tanda tempatan, iaitu Tokong Dragon Temple.

Jalan Pantai Bersih yang terletak di kawasan parlimen Bagan merupakan laluan ikonik yang sering dikaitkan dengan aktiviti rekreasi dan pelancongan pantai di Butterworth.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS