Paling Popular
Terkini

AGM UMNO | Naib Presiden Umno, Johari Abdul Ghani hari ini menegaskan parti itu tidak seharusnya berasa takut kepada DAP, sebagaimana Umno tidak pernah takut kepada mana-mana parti lain yang tidak berasaskan orang Melayu, termasuk MCA dan bekas sekutunya, Gerakan.

Dalam ucapan penggulungannya, Johari berkata perubahan sikap itu mencerminkan apa yang disifatkannya sebagai “politik masa depan” bagi meraih semula sokongan terhadap Umno yang semakin merosot dalam beberapa pilihan raya umum sebelum ini.

"Jadi saudara tuan-tuan, puan-puan, inilah politik masa depan. Kita tak perlu takut dengan siapa kenapa perlu takut dengan DAP?

"Saya rasa tak ada sebab kita perlu takut dengan DAP. Kalau kita tak takut dengan Gerakan (dulu), kita tak pernah takut dengan MCA, kita tak pernah takut dengan mana-mana parti yang bukan berasaskan Melayu, kenapa kita perlu takut dengan DAP,” soalnya.

"Saudara tuan puan, yang kita takut ialah bila Melayu tak boleh bersatu.

"Sebab itu saya menyahut pandangan dan ulasan ataupun idea yang dilontarkan dalam ucapan dasar untuk membuka rumah Umno ini menjadi rumah bangsa kita.

"Kalau tak nak sudahlah, bukan kita boleh paksa," katanya lagi.

Johari, yang juga menteri pelaburan, perdagangan dan industri menegaskan sokongan terhadap Umno telah merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sehingga menyebabkan parti itu tewas dalam dua pilihan raya umum yang lalu.

Namun, dia menyeru para perwakilan bahawa Umno perlu membuktikan kepada rakyat parti itu masih mampu menyumbang kepada kestabilan negara walaupun berdepan realiti tersebut.

Sebagai contoh, ahli parlimen Titiwangsa itu merujuk kepada apa yang berlaku berhubung cadangan kerajaan untuk memperkenalkan Rang Undang-Undang Pembaharuan Bandar (URA).

Menurut Johari, Umno telah menganjurkan satu konvensyen bagi mengumpul maklum balas masyarakat Melayu di Kuala Lumpur berhubung URA dan resolusi yang dicapai hasil konvensyen tersebut telah menyebabkan rang undang-undang itu ditangguhkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS