Perhimpunan Agung Umno 2025 yang melabuhkan tirainya semalam dilihat berjaya meredakan ketegangan dalaman serta memberikan kejelasan hala tuju parti kepada ahli di peringkat akar umbi.
Penganalisis politik Prof Sivamurugan Pandian berkata penegasan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengenai pendirian parti untuk terus mendukung kerajaan perpaduan berjaya menutup ruang spekulasi dan mengelak perpecahan dalaman lebih besar.
“Perhimpunan itu bersifat menstabil dan menyatukan... ia berjaya menetapkan garis asas hala tuju parti dalam persekitaran politik sekarang,” katanya kepada Bernama.
Dalam ucapan dasar kelmarin, Ahmad Zahid menegaskan bahawa Umno kekal mendukung kerajaan perpaduan bagi memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan negara.
Pendirian itu dibuat, katanya, walaupun Umno menerima tawaran kerjasama politik daripada pihak lain, serta gesaan daripada Pemuda supaya mereka keluar kerajaan.
Sivamurugan berkata fokus kini beralih kepada kerja lapangan bagi memastikan Umno bersatu menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor, serta PRU ke-16.
Penganalisis dari Universiti Utara Malaysia Md Shukri Shuib pula berkata pemahaman ahli terhadap hala tuju perjuangan parti penting supaya gerak kerja di peringkat akar umbi dapat menterjemah aspirasi kepimpinan parti itu, sekali gus mampu berdepan serangan pihak lawan.
Dia berpandangan perhimpunan agung kali ini merupakan manifestasi penyatuan kaum Melayu melalui gagasan Rumah Bangsa, membolehkan Umno kembali menjadi magnet kepada orang Melayu pada masa depan.
"Di peringkat nasional mahupun negeri, persiapan parti lebih terserlah dalam usaha membawa aspirasi Umno ke dalam pilihan raya nanti, sekali gus menunjukkan penyatuan orang Melayu yang lebih dinamik," katanya.
Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya menegaskan Umno berperanan sebagai Rumah Bangsa, iaitu tempat untuk menyatukan kembali orang Melayu.
- Bernama
