Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengarahkan penyitaan aset milik pempengaruh media sosial Caprice selepas gagal membayar kos berjumlah RM8,000 kepada seorang ahli perniagaan dalam kes saman fitnah.
Writ penyitaan dan penjualan bertarikh 3 Dis 2025 dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Qasiratul Jannah Usmani Othman terhadap Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, susulan perintah yang diperoleh oleh ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat perkapalan Datuk Seri R. Jeyenderan.
Jumlah terhutang itu merangkumi RM8,000 yang dianugerahkan melalui perintah mahkamah bertarikh 15 Okt 2025 bersama-sama alokatur RM320 yang dikira setakat 21 Nov tahun sama.
Writ itu membenarkan penyitaan dan jika perlu, penjualan harta alih milik Caprice selaku defendan untuk melangsaikan hutang penghakiman itu.
Peguam Muniandy Vestanathan dan Afiq Yahawa yang mewakili ahli perniagaan itu, mengesahkan bahawa dua bailif mahkamah cuba melaksanakan writ itu di kediaman Caprice di Mont Kiara pada 10 pagi hari ini, yang turut disertai pengawal keselamatan kompleks pangsapuri itu.
Bagaimanapun, pelaksanaannya tidak dapat dilakukan kerana tiada pihak yang membuka pintu selepas loceng dibunyikan beberapa kali selain pengurusan pangsapuri memaklumkan defendan telah berpindah selepas tempoh penyewaannya tamat pada tahun lepas.
Pada 15 Okt tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Roslan Mat Nor membenarkan permohonan Jeyenderan untuk mendapatkan injunksi inter-parte dalam saman fitnah terhadap Caprice dan memerintahkan pempengaruh itu membayar kos RM8,000 sebagai kos dalam tempoh dua minggu.
Bagaimanapun, Caprice gagal menjelaskan bayaran itu.
Jeyenderan memfailkan saman itu pada 21 Julai 2025 mendakwa defendan memuat naik beberapa hantaran Instagram pada 10 Julai tahun sama termasuk gambar dan video yang didakwa mengaitkan dirinya dengan beberapa aktiviti jenayah, gangsterisme serta ugutan bersenjata tanpa sebarang bukti sahih.
Sehubungan itu, beliau menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta bagi kerosakan reputasi, ganti rugi khas, am dan teladan, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
- Bernama
