Seorang aktivis media sosial memilih caranya yang tersendiri untuk menarik perhatian terhadap isu berkaitan pengurusan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan pelarian di Malaysia apabila berjalan kaki sejauh lebih 450 kilometer dari Sungai Petani, Kedah ke Kuala Lumpur.
Aktivis Pertubuhan Angkatan Lindungan Masyarakat (Panglima), Mohamed Izam Ahmad, 45, berkata misi selama 24 hari itu berlangsung dari 25 Disember 2025 hingga 17 Januari 2026 dengan tujuan membawa pandangan dan kebimbangan sebahagian masyarakat kepada pembuat dasar, khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Mohamed Izam yang berasal dari Alor Setar, Kedah dan kini menetap di Raub, Pahang, merupakan seorang peniaga serta ayah kepada empat orang anak. Di media sosial Facebook, dia dikenali sebagai Utusan Rimba dan aktif membincangkan isu berkaitan pendatang tanpa izin serta pelarian sejak tahun 2018.
“Saya merasakan perlu turun ke jalan untuk membawa kesedaran ini secara lapangan, bukan sekadar bersuara di media sosial,” katanya kepada Malaysiakini.

NGO Panglima yang dianggotai Mohamed Izam berpusat di Sungai Petani, Kedah yang memfokuskan isu keselamatan, kedaulatan undang-undang serta kebajikan masyarakat tempatan.
Dia berkata penglibatannya berpunca daripada pengalaman dan pemerhatian peribadinya terhadap kesan perubahan sosial dan ekonomi di kawasan setempat akibat kedatangan pendatang tanpa izin dan pelarian, yang menurutnya perlu dibincangkan secara terbuka dalam kerangka dasar serta undang-undang sedia ada.
Data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan populasi bukan warganegara di Malaysia dianggarkan mencapai kira-kira 3.38 juta orang pada 2025, atau hampir 10 peratus daripada jumlah penduduk, termasuk pekerja migran berdaftar dan tidak berdaftar — kebanyakannya datang untuk bekerja dalam sektor formal dan informal.
Bagaimanapun, pakar buruh dan ekonomi sebelum ini menegaskan sebahagian besar warga asing di Malaysia terlibat dalam sektor yang kekurangan tenaga kerja tempatan dan sumbangan mereka menjadi faktor penting dalam kelangsungan industri seperti perkilangan, pembinaan dan perladangan.
Kementerian Sumber Manusia pula memaklumkan sebanyak 2,132,578 pekerja asing yang aktif dan sah direkodkan bekerja di Malaysia setakat 15 Okt tahun lepas, menurun 13 peratus berbanding 2,452,010 pekerja bagi tempoh sama pada 2024.
Sektor perkilangan merekodkan 622,388 pekerja, diikuti pembinaan (589,684), perkhidmatan (390,607), perladangan (263,131), pertanian (158,628), pembantu rumah asing (107,375) serta perlombongan dan pengkuarian (765).
Dalam perkembangan berkaitan, lebih 90,000 pendatang asing tanpa izin ditangkap menerusi 13,678 siri operasi di seluruh negara pada tahun lalu. Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Lokman Effendi Ramli dilaporkan berkata jumlah itu direkodkan setakat 24 Disember hasil pemeriksaan ke atas 235,343 warga asing.
Menurutnya, pemeriksaan tersebut turut melibatkan 5,294 individu yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Pun begitu, angka tangkapan imigresen tidak semestinya mencerminkan kadar jenayah, sebaliknya lebih berkait dengan status dokumentasi dan operasi penguatkuasaan pentadbiran.
Dalam pada itu, Mohamed Izam berkata pendekatan berjalan kaki menjadi pilihannya bagi membolehkan dia berinteraksi secara langsung dengan masyarakat di sepanjang laluan, sekali gus membuka ruang dialog berterusan mengenai isu yang diperjuangkannya itu.
Hampir putus asa
Sepanjang misi, dia berjalan antara 15 hingga 20 kilometer sehari dalam dua sesi, iaitu pada sebelah pagi dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari dan disambung pada sebelah petang dari jam 2 petang hingga 6 petang, bergantung kepada tahap kesihatan dan keadaan cuaca.
Dia turut memastikan pengambilan makanan dan air mencukupi bagi mengekalkan tahap kesihatan, selain berkongsi perkembangan perjalanan melalui siaran langsung kandungan di media sosial.
Mengulas cabaran, Mohamed Izam berkata dia berdepan kecederaan kaki, keletihan melampau serta cuaca panas dan hujan, selain pernah mengalami demam panas pada hari ke-17 perjalanan.
“Pada satu tahap, saya hampir berputus asa kerana kesakitan. Namun dengan izin Allah, selepas mendapatkan rawatan di farmasi, saya kembali pulih dan meneruskan misi ini hingga ke akhir,” katanya.

Menurutnya, pergerakan sepanjang misi dimaklumkan kepada pihak berkuasa bagi tujuan keselamatan, selain disertai pengiring sekiranya berlaku kecemasan.
Sepanjang perjalanan, Mohamed Izam turut bertemu individu yang mengikuti perkembangannya di Facebook, yang hadir memberikan sokongan moral dan galakan.
Katanya, NGO Panglima telah menyerahkan memorandum mengenai isu pelarian dan pendatang tanpa izin kepada pihak berkaitan pada 19 Januari dan pihak penganjur kini menunggu maklum balas serta tindakan susulan daripada kerajaan.
Menurut perangkaan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), setakat akhir Mei 2025 kira-kira 200,000 pencari suaka telah didaftarkan di Malaysia.

Para pelarian di Malaysia datang dari lebih 50 negara termasuk Palestin, Syria, Somalia, Afghanistan, Myanmar, Pakistan dan Yemen — tetapi angka ini hanya mencerminkan jumlah yang berdaftar dan bukan jumlah sebenar yang tinggal di negara ini.
Pelarian yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia terdiri daripada mangsa yang melarikan diri daripada perang, konflik bersenjata, penganiayaan dan ketidakstabilan politik. Kebanyakan pelarian pula tidak dibenarkan bekerja secara sah, sekali gus menjadikan mereka terdedah kepada eksploitasi dan kemiskinan.
Malaysia tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967 dan tidak mempunyai kerangka undang-undang nasional khusus untuk pelarian. Pelarian di Malaysia ditangani menurut peraturan imigresen tempatan tanpa status pelarian yang diiktiraf secara sah.
UNHCR di Malaysia pula hanya menjalankan fungsi pendaftaran dan perlindungan secara sukarela serta bekerjasama dengan kerajaan untuk memperbaiki persekitaran pelindungan.

Walaupun prinsip antarabangsa seperti non-refoulement (larangan memulangkan pelarian ke tempat di mana kehidupannya terancam) tetap relevan namun ia tidak termaktub dalam undang-undang domestik Malaysia.
Sementara itu, Mohamed Izam bersama NGO Panglima mengemukakan 10 tuntutan utama, masing-masing lima kepada KDN dan UNHCR, yang menekankan keperluan penambahbaikan dasar, penguatkuasaan serta ketelusan pengurusan.
Lima tuntutan Panglima kepada KDN:
Penambahbaikan kawalan kemasukan warga asing di semua pintu masuk negara.
Penguatkuasaan lebih tegas dan sistematik terhadap Pati serta pendatang tanpa status sah.
Semakan dan saringan semula pemegang kad UNHCR bagi mengelakkan penyalahgunaan status.
Penglibatan awam dalam perbincangan polisi berkaitan warga asing dan pelarian.
Keseimbangan perlindungan antara hak rakyat tempatan dan hak pelarian.

Lima tuntutan Panglima kepada UNHCR:
Ketelusan dalam proses pendaftaran dan saringan pelarian.
Kerjasama lebih erat dengan kerajaan Malaysia, khususnya KDN.
Jaminan keselamatan komuniti tuan rumah.
Pemantauan terhadap pelarian berisiko yang terlibat dalam jenayah atau masalah sosial.
Penerbitan laporan tahunan terbuka berkaitan jumlah, lokasi dan status pelarian.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Izam berkata dia menerima sokongan penuh daripada keluarga, yang memahami komitmen terhadap isu yang diperjuangkannya.
Menurutnya, sepanjang perjalanan dia menerima pelbagai pandangan daripada masyarakat berbilang kaum, dengan kebimbangan terhadap masa depan generasi akan datang dan keperluan pengurusan yang lebih teratur menjadi antara luahan yang sering dikongsi.
“Saya membawa suara dan harapan rakyat. Kerajaan dan UNHCR perlu mendengar, berbincang dan memahami realiti kehidupan rakyat,” katanya kepada Malaysiakini.
Katanya, usaha meningkatkan kesedaran akan diteruskan secara aman dan melalui saluran undang-undang sekiranya tiada perubahan susulan daripada pihak berwajib.

Malaysiakini telah menghubungi UNHCR dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mendapatkan maklum balas lanjut mengenai tuntutan Mohd Izam ini.
Pakar keselamatan dan buruh pada masa lalu sering mengingatkan isu berkaitan warga asing di Malaysia tidak boleh dilihat secara terpisah daripada masalah pemerdagangan manusia, rasuah dalam proses imigresen serta kelemahan penguatkuasaan buruh, yang sering menjadikan pekerja migran dan pelarian sebagai pihak paling terdedah kepada eksploitasi.
Siri laporan eksklusif Malaysiakini sebelum ini mendedahkan sindiket yang terlibat dalam pemerdagangan pekerja migran, termasuk penipuan kuota pekerja asing yang diperoleh dengan dokumen palsu dan sistem promosi palsu di negara asal pekerja, serta pengagihan pekerja kepada majikan tanpa pekerjaan sebenar di Malaysia.
Penyiasatan Malaysiakini turut menemui kes-kes pekerja asing diperdagangkan sebagai komoditi — termasuk bayaran besar kepada ejen, komisen dari majikan dan pemegang kontrak, serta praktik yang mirip pemerdagangan moden dengan hak pekerja dilanggar dan mereka ‘terikat’ kepada keadaan kerja yang merugikan.
