Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Saiful cabar Adam tak jadikan PTPTN ‘paling bangsat dalam sejarah’

PARLIMEN | Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan mencabar Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim, agar membuktikan keupayaannya dalam kerajaan, terutama berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Wan Saiful, yang merupakan bekas pengerusi PTPTN, membangkitkan kenyataan Adam pada 2019 bahawa dia menjadikan institusi isu sebagai “badan paling bangsat dalam negara”.

“Satu benda yang saya duduk terfikir mengenai pelan pendidikan yang baru dibentangkan ini, apa yang nak dibuat dengan PTPTN sebagai salah satu agensi dalam Kementerian Pengajian Tinggi.

“Dulu, individu yang menjadi Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi sekarang, pernah mengatakan saya menjadikan PTPTN itu paling bangsat dalam sejarah. 

“Sekarang saya nak tengok apa yang dia boleh buat untuk memastikan PTPTN tak jadi paling bangsat dalam sejarah,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam kenyataan yang dibuat pada 17 Mei 2019, Adam mengecam cadangan Wan Saiful agar PTPTN memperkenalkan semula sekatan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar pinjaman.

Adam yang pada ketika itu merupakan aktivis pelajar mendakwa cadangan itu bercanggah dengan aspirasi PH.

"Dia ingat diri dia lagi besar daripada kerajaan sebab buat keputusan bercanggah dengan kerajaan…Dia menjadikan PTPTN badan paling bangsat dalam negara," katanya.

Menteri pendidikan ketika itu, Maszlee Malik berkata cadangan itu “bukan daripada PTPTN”, namun hanya dikemukakan dalam rundingan awam bagi mendapatkan pandangan orang ramai.

Bagaimanapun, Wan Saiful kemudian menarik balik kenyataan tersebut selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan Peraturan 36(4) berhubung penggunaan bahasa kurang sopan, lucah, seksis, atau tuduhan jahat yang melanggar Peraturan Mesyuarat.

“Okay, kalau saya cuma ubah perkataan (bangsat) boleh?

“Saya nak pastikan dan saya nak tengok, bolehkah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (Adam Adli) tidak menjadi seperti mana dia panggil saya sebelum ini,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS